Anda di sini

Kebocoran bukan faktor utama penurunan keputusan UPSR: Idris

Advertisement

PETALING JAYA: Kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan semua calon terpaksa mendudukinya semula bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pencapaian keseluruhan keputusan ujian itu, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata sebaliknya penurunan 0.02 mata Gred Purata Nasional (GNP) itu di-sebabkan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang mencabar tahap pemikiran calon.

Bagaimanapun penurunan itu tidak begitu ketara kerana ia masih berada di bawah penanda aras GNP iaitu 0.05 mata, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan slip keputusan UPSR kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya yang men-dapat 5A dan 4A dekat sini, semalam.

Idris berkata peperiksaan UPSR kali ini dimuatkan soalan-soalan KBAT sebanyak 40 peratus berbanding 25 peratus pada tahun sebelumnya.

“Apabila kita membuat analisis, penurunan ini adalah kerana adanya soalan seumpama itu… dan kesilapan jawapan banyak dilakukan (calon UPSR) dalam soalan KBAT berbanding soalan lain,” katanya.

Idris berkata tindakan kementerian memasukkan soalan KBAT dalam peperiksaan UPSR merupakan antara transformasi yang dilakukan bagi memastikan objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk melahirkan pelajar berfikir aras tinggi tercapai.

Menyentuh kes keboco-ran soalan UPSR, beliau berkata kerajaan kini sedang melihat keperluan menggunakan teknologi Pengena-lan Frekuensi Radio (RFID) sebagai peranti alternatif bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata mata pelajaran Geografi dan Sejarah tidak lagi dibuat dalam bentuk peperiksaan sebaliknya, penilaian terhadap subjek itu dibuat berdasarkan kerja kursus pelajar.

Pendekatan ini dilakukan menerusi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini.

“Bagi mata pelajaran ini, pelajar 100 peratus akan melaksanakan kerja kursus termasuk mencari sendiri bahan untuk melengkapkan laporan mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement