Anda di sini

Ivan sah sertai Sarawak

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Alberts yakin pemain Montenegro jadi aset penting harungi saingan Liga Malaysia 2015

SIAP SEDIA: Pemain menjalani latihan terakhir sebelum berangkat ke Miri hari ini.

KUCHING: Pemain dari Montenegro, Ivan Patic sah menyertai Sarawak pada musim depan setelah mencapai persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Jurulatih Robert Alberts ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang D, semalam.

Menurutnya, Ivan berjaya memikat pihak pengurusan sejak menjalani ujian dua minggu lepas.

“Kita memang mengalu-alukan kedatangan Ivan dalam skuad dan percaya beliau bakal menjadi aset penting buat Sarawak,” katanya semalam.

“Pengalamannya yang meluas ketika bermain dalam Serie A dan liga-liga lain akan memperkuatkan skuad bagi memburu kejuaraan pada musim depan.”

Ivan, 26, calon terbaik Sarawak untuk mengisi posisi ‘defensive midfielder’ yang ditinggalkan oleh Junior Eldstal setelah pemain itu berhijrah menyertai Johor Darul Takzim.

Dalam perkembangan sama, Alberts optimis dengan kemampuan Billy Mehmet untuk membantu Sarawak mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2015.

Penyerang berusia 30 tahun kelahiran Peckham, London itu mula menjalani latihan dengan Sarawak semalam.

“Billy mempunyai reputasi yang sangat besar bukan sahaja dalam Malaysia malah di luar negara.

“Kita memang sudah lama mahu membawa pemain itu ke sini dan begitu teruja setelah beliau bersetuju untuk menyertai Sarawak.

“Saya percaya gandingannya dengan Ryan (Griffiths) bakal menjanjikan sesuatu untuk skuad pada musim depan,” ujarnya.

Sarawak akan berlepas ke Miri hari ini untuk menjalani kem latihan di sana dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pilihan Miri esok.

Skuad juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Sabah pada 30 November disusuli perlawanan menentang pilihan Limbang pada 2 Disember.

Advertisement