Anda di sini

UPP Kelantan rampas rokok seludup lebih setengah juta

Advertisement

KOTA BAHARU: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas rokok seludup rokok antara yang terbesar jumlahnya tahun ini, bernilai RM596,800, hasil serbuan di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, kelmarin.

Kes kelmarin menyaksikan penyeludup menggunakan kereta mewah Toyota Vellfire dan operasi pada jam 3.30 petang itu membawa kepada penemuan 1,980 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenis dalam kenderaan itu, yang ditinggalkan.

“Tiada tangkapan dibuat kerana suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” kata Komander UPP negeri, Rusli Karim pada sidang media di sini.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, UPP negeri merampas pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.5 juta dalam 22 kes berasingan.

“Ia juga melibatkan serbuan di premis yang telah kami intip dalam tempoh yang lama. Kami percaya kaedah penyeludupan menggunakan kenderaan mewah merupakan modus operandi terbaharu untuk mengaburi mata pihak berkuasa berbanding penggunaan kereta biasa dan lori sebelum ini,” katanya. — Bernama

Advertisement