Anda di sini

KPDNKK promosi GST menerusi selfie

Advertisement

KUALA LUMPUR: Trend selfie yang menjadi kegilaan masyarakat masa kini ‘dimanfaatkan’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai strategi baharu untuk memberi penerangan berhubung Cukai Barang dan Perhidmatan (GST).

KPDNKK menggunakan papan skrin sentuh digital interaktif yang membenarkan orang ramai berselfie sambil membaca penerangan berhubung sistem cukai baharu yang akan digunakan pada April 2015.

Pegawai pemasaran syarikat pembekal papan skrin itu, Berkat Wajar Sdn Bhd Raja Rozida Raja Aziz berkata KPDNKK adalah pelanggan pertama mereka yang menggunakan kelengkapan elektronik termoden berharga hampir RM1 juta itu.

Papan skrin digital bersaiz 20 kaki lebar dan sembilan kaki panjang itu dipasang di aras dua Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sejak kelmarin, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014.

“Terdapat skrin televisyen yang dilengkapi kamera bersebelahan papan skrin digital yang membenarkan orang ramai untuk berselfie dan menghias gambar itu dengan tulisan, frame atau ikon terpilih sebelum merakam imej digital.

“Sementara menunggu imej ‘keluar’ di papan skrin digital, mereka pasti akan membaca mesej yang ada di papan skrin kerana menjadi kebiasaan kita untuk membaca apa juga huruf atau perkataan yang ada di hadapan mata,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek turut mengabdikan dua keping imej selfie beliau semasa merasmikan papan skrin digital itu semalam.

Raja Rozida berkata semua gambar yang dimuat naik akan ‘disimpan’ di dalam sistem dan kekal dipaparkan sehingga tamat perhimpunan, selain boleh dihantar ke akaun e-mel peribadi pengguna.

Pengiklan yang menggunakan papan skrin digital juga boleh mengetahui keberkesanan iklan kerana ia turut dilengkapi sistem ‘aliran trafik’ yang mencatat jumlah pengguna selfie. — Bernama

Advertisement