Anda di sini

Kerjasama sepadu bawa perubahan

Advertisement

Sebuah rencana oleh Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd., rakan Youth Green X-Change Programme 2014 //

MEMBANGUN satu sistem pengurusan sisa yang teguh, moden dan boleh dipercayai merupakan salah satu komponen utama dalam membina sebuah bandaraya dan komuniti yang sihat dan mampan.

Isu-isu sisa dan alam sekitar harus diurus melalui pengetahuan kukuh, kebolehan teknologi dan amalan-amalan industi yang terbaik dalam memastikan sumber-sumber alam semula jadi kekal berkeadaan baik dan bebas daripada pencemaran.

Sarawak, khususnya, bandar raya Kuching melaksanakan Sistem Pengurusan Sisa Bersepadu (ISWMS).

Ia merupakan satu pendekatan moden yang membolehkan sisa perbandaran dan sisa berbahaya diurus secara holistik dan bersepadu.

Ia menekankan khidmat kutipan sisa yang cepat, cekap, selamat dan bersih dengan menggunakan bekas-bekas sisa berstandard dan kumpulan kenderaan moden, disusuli dengan cara-cara pelupusan terkini berasaskan kejuruteraan alam sekitar di Kuching Integrated Waste Management Park (KIWMP) di Mambong – menghapuskan kemungkinan pencemaran yang timbul akibat proses-proses pengurusan sisa yang lemah.

Salah satu penyebab utama pencemaran alam sekitar di Malaysia adalah pembuangan sampah yang tidak teratur.

Perkara ini telah membimbangkan Kerajaan Persekutuan sehingga terbentuknya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam 2007 (ACT 672) yang melibatkan Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Sarawak dan Sabah, sebaliknya pula, terkecuali daripada akta tersebut kerana kedua-kedua negeri sudahpun mempunyai perundangan berkaitan pengurusan sisa pepejal mereka tersendiri, khususnya Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996; Undang-undang Pihak Berkuasa (Kebersihan), 1999 dan Oder Pemeliharaan Alam Sekitar (Aktiviti-Aktiviti Ditetapkan) 1999.

Penduduk Malaysia menghasilkan 17,000 tan sisa pepejal setiap hari pada tahun 2001, 19,000 tan pada 2005 dan angka ini dijangka meningkat sehingga 30,000 tan menjelang 2020, membayangkan satu corak pembangunan yang tidak mampan.

Walaupun kita sudah ada polisi-polisi, peraturan dan perundangan, penguatkuasaan dan kemudahan-kemudahan serta infrastruktur moden untuk mengurus sisa, sikap dan tabiat masyarakat dalam mengurus sampah harian masih harus diperbaiki.

Beberapa tahun kebelakangan ini, tahap kesedaran alam sekitar di kalangan orang awam agak memberangsangkan dengan wujudnya inisiatif-inisiatif hijau seperti ‘Hari Tanpa Plastik,’ ‘Katakan Tidak Kepada Polisterina’ dan kempen-kempen beli balik oleh pihak-pihak berkuasa tempatan, perniagaan persendirian ataupu individu.

Walaupun kadar kitar semula nasional berada pada tahap tiga atau lima peratus, angka ini akan meningkat secara positif dengan adanya program-program pendidikan dan kesedaran yang konsisten.

Dalam aspek lain pula, isu-isu seperti pembuangan haram dan tabiat membuang sampah merata-rata masih menjadi satu masalah di kebanyakan kawasan komersil, industri dan perumahan termasuk kawasan berhampiran sungai; tindakan yang mengundang masalah kesihatan dan menjejas kualiti air.

Longgokkan sampah yang dibuang secara haram di tepi jalan kawasan bandar dan pedalaman menjadi pemandangan biasa.

Sampah-sampah ini dibuang begitu sahaja kerana ia adalah jalan mudah untuk mengelak daripada membayar yuran pelupusan atau menjimat masa dan tidak perlu berusaha melupus sisa dengan cara yang baik di tapak pelupusan atau pusat kitar semula.

Bagi menyelesaikan masalah ini, semua pihak yang berkepentingan harus bersatu tenaga dan bekerjasama memperbaiki keadaan sedia ada.

Program pendidikan alam sekitar dan kawalan yang efektif boleh dirumuskan melalui strategi-strategi taktikal berikut (EPA Toolkit 1998):

AMALAN DIUBAH: Sikap endah tak endah dalam menangani sampah harus digantikan dengan usaha yang lebih berhemah dan rasa pengawasan yang kuat bagi memperbaiki kualiti alam sekitar kita.

Usaha-usaha pembersihan

Projek-projek pembersihan atau gotong-royong perlu dirancang dengan baik agar sumber-sumber dan dana yang diperlukan boleh dikumpul.

Selepas sesuatu tapak itu dibersihkan, papan tanda atau penghadang perlu dibina bagi mengelakkan pembuangan haram berulang di masa hadapan.

Papan tanda harus menyatakan denda dan hukuman atas kesalahan membuang secara haram, dan nombor telefon bagi melapor kejadian-kejadian berkaitan.

Pendidikan alam sekitar, outreach dan penglibatan komuniti

Masyarakat diberikan maklumat dan pengetahuan asas tentang kesan pembuangan sampah yang tidak teratur, termasuk bilangan pusat-pusat tong sampah yang mencukupi dan jenis sistem pelupusan yang bersesuaian dengan keadaan geografi mereka.

Mereka digalakkan memantau keadaan sampah di kawasan mereka dan melaporkan sebarang pembuangan haram yang mungkin berlaku.

Trienekens terlibat dalam usaha-usaha mendidik orang ramai tentang kesan pembuangan sampah yang tidak betul dan juga bekerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan dalam usaha mendidik kanak-kanak, belia dan anggota-anggota masyarakat sebagai salah salah satu daripada program pendidikan sisa dan alam sekitarnya yang berterusan.

Tingkatkan penguatkuasaan

Selain mendidik orang ramai, satu lagi cara efektif ialah dengan menggunakan peraturan dan perundangan sedia ada untuk mengawal pengurusan sampah dan mengurangkan pembuangan haram.

Contohnya, mengenakan denda, penalti pengembalian semula kos pembersihan, dan permit-permit khas untuk melupus sisa yang boleh mengelak kesalahan malah menanggung program pencegahan, ataupun membentuk skim insentif untuk warga-warga yang melaporkan aktiviti-aktiviti pembuangan haram.

Menjejak dan memantau

Menjejak dan memantau hasil-hasil usaha pencegahan boleh membantu menentukan tahap keberkesanannya.

Dengan sistem sebegini, pihak berkuasa tempatan akan dapat mengenalpasti tempat-tempat bermasalah yang kerap dilanda pembuangan haram, corak-corak dan kekerapan pembuangan tersebut.

Ini akan membantu mereka dalam mempertingkatkan penguatkuasaan, ‘outreach’ dan pendidikan kepada pesalah-pesalah.

Perubahan pada minda dan tabiat akan berlaku secara beransur-ansur dengan adanya usaha-usaha konsisten dan komitmen kukuh dari setiap lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan, termasuklah golongan belia.

Penjagaan, penyelenggaraan, kebersihan, pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar kita merupakan tanggungjawab kita bersama.

Trienekens, sebagai operator ISWMS dan rakan komuniti yang bertanggungjawab ke atas komuniti tempat ia bekerja, akan terus berusaha dan menyumbang ke arah realisasi dan pencapaian visi bandar raya bersih dan sihat.

Ia juga mengalu-alukan peluang-peluang bekerjasama dengan semua rakan-rakannya bagi memastikan visi tersebut tercapai.

Marilah kita bekerjasama mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih.

Advertisement