Anda di sini

Kad anggota KRK dengan nama tertuduh dijumpai di dalam beg

Advertisement

KOTA KINABALU: Antara barang yang dijumpai di dalam beg plastik yang dibuang seorang lelaki yang ditangkap Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 3 Mac tahun lepas ialah kad keanggotaan sebuah pertubuhan.

Insp Zairie Surani, 29, memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi di sini semalam ketika memberi keterangan dalam perbicaran 30 orang yang menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Saksi itu, yang juga komander platun batalion berkenaan, berkata kad berkenaan kepunyaan sebuah kumpulan persaudaraan di Tawi-Tawi, Filipina dikenali sebagai ‘Knights of the Right Keepers’ atau Kappa Rho Kappa (KRK).

Kad itu mengandungi nama Atik Hussin Abu Bakar, lelaki yang ditangkap PGA dan seorang daripada tertuduh yang dibicarakan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff tentang kad itu, Zairie membaca dengan lantang kandungannya, yang bermaksud: “Saya seorang KRKean. Saya serahkan jasad dan nyawa saya kepada KRK…Saya yakin dengan tugas KRK yang tiada penghujungnya.

“Saya akan sokong dan pertahan objektif KRK. Saya menjadi KRKean demi kebaikan, manfaat dan kemakmuran semua saudara saya. Saya berjuang bukan kerana mengharapkan kemegahan, cuma atas nama semangat persaudaraan, keamanan dan perpaduan.”

Zairie berkata kad itu juga mengandungi perkataan ‘Republic of the Philippines’ dan ‘Bongao, Tawi-Tawi’.

Terdapat juga kad pengesahan KRK di dalam beg itu, yang mengandungi nama Atik Hussin, katanya.

Saksi berkenaan juga mengenal pasti sebilah parang berong yang patah hulunya dengan huruf ‘K’ terukir pada sarungnya, sama seperti senjata yang dijumpai di dalam beg yang dibuang Atik Hussin.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah itu dengan pelbagai pertuduhan.

Ia termasuk menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaran di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement