Anda di sini

JAKIM, IPTA bekerjasama perjelas persoalan akidah

Advertisement

Kepakaran digabung untuk penjelasan cepat dan tepat

PUTRAJAYA: Dalam usaha memberi penjelasan segera berhubung persoalan akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menjalankan penyelidikan berkenaan isu fatwa di negara ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu membolehkan kepakaran kedua-dua pihak digabungkan bagi memastikan setiap persoalan diperjelas dengan cepat dan tepat.

“Dengan adanya kerjasama ini, isu-isu yang ditimbulkan oleh masyarakat atau mereka yang berfahaman liberal akan terus dikaji bagi menghasilkan keputusan dan tindakan segera berhubung perkara yang ditimbulkan.

“Isu-isu semasa yang timbul dalam kalangan masyarakat perlu diberi penjelasan segera berdasarkan hukum agama Islam yang tepat, dan kita bertuah kerana USIM dan UTM dengan kepakaran yang ada sedia melaksanakan kajian terhadap isu yang ditimbulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian kerjasama itu pada majlis seminar kebangsaan pencegahan jenayah akidah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi dekat sini.

Othman berkata kajian yang dijalankan hanya melibatkan perkara-perkara yang belum dipaparkan di Islam Grid, portal yang memaparkan maklumat berkaitan Islam dan kemusykilan agama di laman sesawang JAKIM.

Beliau berkata hasil kajian tersebut akan dibawa kepada Majlis Fatwa untuk dibahaskan sebelum Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat penentuan hukum berkenaan isu atau perkara yang ditimbulkan.

“Di sini, pihak universiti yang membuat kajian akan bertanggungjawab membentang dan memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai sebarang persoalan berkenaan kajian yang dibuat,” katanya.

Othman berkata antara lain, kerjasama itu juga meliputi penterjemahan keputusan-keputusan fatwa ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab serta pelantikan Felo Fatwa.

Pada majlis itu, Jakim turut memeterai perjanjian persefahaman dengan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sebagai pemegang amanah dalam menguruskan akaun khas kefatwaaan, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). — Bernama

Advertisement