Anda di sini

Ivan miliki kelebihan beraksi bersama skuad Sarawak

Advertisement

KUCHING: Selepas Sarawak memuktamadkan perpindahan penyerang prolifik Billy Mehmet, tumpuan kini terarah terhadap satu lagi slot pemain import yang sedang diburu iaitu Ivan Patic dari Montenegro dan Ronald Djam dari Cameroon.

Turut memburu peluang pemain pertahanan dari Perancis, Jimmy Modeste, 33, yang tiba lewat semalam.

Ketiga-tiga pemain itu masih mempunyai tempoh dua minggu untuk memikat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 5 Disember depan.

Di atas kertas, Ivan tampak lebih berkelebihan mengisi posisi ‘defensive midfielder’ yang diperlukan Sarawak kerana memiliki pakej lengkap – pengalaman meluas selain mempunyai teknik dan kemahiran yang baik.

Namun, Pengurus Pasukan Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata pihaknya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana mahu memastikan pemain terbaik dipilih mengisi posisi tersebut.

“Kita tidak perlu terburuburu kerana masih ada masa sehingga 5 Disember depan untuk mencari pemain yang benar-benar mantap dan berkualiti untuk mengisi posisi tersebut.

“Ketika ini, Ivan jelas calon terbaik skua d Sarawak namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan,” katanya ditemui di sini semalam.

Ivan berjaya memikat pengurusan FAS sejak menjalani sesi ujian dua minggu lalu.

Menurut sumber, pihak pengurusan akan memaklumkan senarai pemain terpilih sebelum mereka berlepas ke Miri pada 27 November ini untuk menjalani kem latihan di sana.

Sarawak juga akan menentang skuad Sabah pada 30 November disusuli pilihan Limbang pada 2 Disember depan.

Advertisement