Anda di sini

Cadangan asingkan bil pengurusan sisa pepejal daripada cukai pintu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk mengasingkan bil pengurusan sisa pepejal daripada cukai pintu bagi menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal di negara ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata kementeriannya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung perancangan itu.

“Jika bil pengurusan sisa pepejal diasingkan daripada cukai pintu, maka hasil daripada pungutan bil itu akan digunakan khusus untuk menguruskan sisa pepejal secara teratur dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Ruang pameran syarikat berkaitan kerajaan, kementerian, syarikat swasta dan agensi kerajaan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO bermula semalam sehingga Sabtu.

Katanya bil pengurusan sisa pepejal kini dikutip bersama cukai pintu bagi membiayai kos penyelenggaraan bandar seperti kos mengangkut sampah, membersihkan longkang, mengindahkan landskap, membayar bil lampu jalan dan menyelenggara lampu isyarat.

“Kajian mengenai pengasingan bil telah dijalankan bagi mengenal pasti jumlah peruntukan yang digunakan PBT untuk menguruskan sisa pepejal. Jika pengasingan bil dimuktamadkan kelak, maka kadar pembayaran cukai pintu akan diturunkan,” kata Abdul Rahman.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang meneliti perancangan untuk mewujudkan pusat kompos sisa makanan menggunakan ‘melin composting machine’ dari Korea dan pusat ‘anaerobic digestion’ bagi menghasilkan baja daripada sisa makanan serta mengurangkan pembaziran. — Bernama

Advertisement