Anda di sini

Tertuduh cuma sempat lari untuk seketika

Advertisement

Penganggur cuba lari apabila mengetahui dia bakal dibicarakan atas tuduhan bunuh

PUTRAJAYA: Seorang penganggur berusia 27 tahun cuma dapat melarikan diri untuk seketika apabila meluru keluar dari bilik mahkamah di sini semalam sebaik mengetahui Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa untuk membicarakannya atas tuduhan membunuh.

M. Thinagaran, bagaimanapun diberkas semula kira-kira 10 minit kemudian di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya yang terletak bertentangan dengan Istana Kehakiman.

Tertuduh sebelum itu duduk di luar kandang tertuduh apabila mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Ogos tahun lepas untuk meminda pertuduhan ke atasnya daripada membunuh kepada menyebabkan kematian.

Thinagaran dituduh menyebabkan kematian K. Mugilan, 17, di sebuah rumah di Taman Puchong Indah, Puchong, jam 9.30 malam pada 16 Mac, 2011.     Dia telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, dan dibebaskan awal tahun ini.

Di Mahkamah Rayuan, selepas diperintahkan oleh barisan panel hakim yang diketuai oleh Datuk Rohana Yusuf untuk membela diri atas pertuduhan membunuh dan bagi kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi, Thinagaran berjalan terus menuju ke pintu bilik mahkamah.

Ketika keluar, seorang anggota polis wanita yang bertugas cuba mengejarnya tetapi dia tidak mengendahkannya dan sebaliknya berlari menuju pintu keluar Istana Kehakiman.

Anggota polis itu menjerit minta bantuan dan kebetulan Nasrulhelmi Mohd Dal, 32, dari Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan terdengar jeritan anggota polis itu dan mengejar Thinagaran.

Beliau berjaya memberkas Thinagaran, yang kemudian dikawal ketat oleh tiga pengawal keselamatan dari kompleks berhampiran sebelum diserahkan kepada lima anggota polis.

Thinagaran kemudian dibawa balik ke mahkamah dan diperintahkan barisan panel hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Ahmadi Asnawi direman sehingga selesai kes di Mahkamah Tinggi. Tertuduh menghadapi hukuman mandatori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Advertisement