Anda di sini

Hasil Forum Antarabangsa UMNO harus dibentang di PBB

Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO harus mencadangkan kepada Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan usul, hasil perbincangan topik ‘Perubahan kepada Keseimbangan Kuasa Global’ sempena Forum Antarabangsa UMNO semalam, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Syed Hamid yang bertindak selaku moderator semasa sesi itu, berkata majoriti penceramah antarabangsa membangkitkan kebimbangan mereka mengenai keselamatan siber dan perubahan yang dihadapi dalam dunia kesalinghubungan.

“Semasa forum itu, semua delegasi bersetuju ruang siber tidak boleh dihentikan, dan semua orang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keselamatan siber serta ruang siber tidak mempunyai kebertanggungjawapan dan tiada kekangan.

“Bagaimana kita mahu mengawal ruang siber, pencerobohan peribadi, melindungi negara daripada serangan siber, saya berharap apa yang telah dibincangkan dalam forum hari ini tidak akan berakhir di sini, kami (UMNO) akan mencadangkan apa yang dibincangkan dalam forum ini dibawa ke PBB,” katanya di sini.

Sementara itu seorang penceramah, Siti Sarifah M. Sutalaksana yang juga Ketua Perwakilan, Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) di Malaysia, mencadangkan lima langkah kepada kerajaan untuk memerangi jenayah siber.

Antara cadangannya adalah meningkatkan kekerapan simulasi peperangan siber, mengenal pasti risiko serangan siber dan peraturan bagi penggodam siber.

“Kerajaan juga boleh melaksanakan hukuman lebih berat kepada penggodam siber yang tidak bertanggungjawab dan meningkatkan dunia pendidikan siber di sekolah,” katanya.

Forum bertemakan ‘Dunia Kesalinghubungan: Cabaran Dalam Pembinaan Negara’, yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Forum Antarabangsa Umno yang berlangsung dua hari, bermula hari ini, disertai 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik hampir 70 negara. — Bernama