Anda di sini

Fatah mahu pelajari kesalinghubungan daripada Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Wilayah Palestin, nyata musnah akibat peperangan, namun ini tidak menghalang penduduknya daripada berhubungan dengan dunia luar.

Wakil daripada Pergerakan Fatah Palestin Dr Abdallah Abdallah berkata parti itu berazam untuk belajar daripada pencapaian dan kejayaan Malaysia untuk melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi.

Dr Abdallah, yang juga timbalan pesuruhjaya Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Fatah, berkata dalam dunia yang dihubungkan secara maya hari ini, penggunaan peranti teknologi adalah penting dan akan memanfaatkan penduduk Palestin untuk memajukan ekonomi mereka.

“Inilah dunia pada hari ini dan kita tidak boleh mengetepikan teknologi baharu. Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita ketinggalan,” katanya kepada Bernama.

Dr Abdallah menghadiri Forum Antarabangsa, yang berlangsung dua hari bermula semalam, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sejumlah 127 perwakilan asing daripada 34 parti politik di 22 negara menghadiri forum bertemakan ‘Dunia Kesalinghubungan Digital: Cabaran Dalam Pembinaan Negara’.

“Kami percaya ada sesuatu yang kami boleh pelajari (dalam forum ini). Ini adalah peluang bagi kami untuk saling berhubungan dengan Malaysia dan negara lain serta belajar daripada pengalaman mereka,” katanya.

Dr Abdallah berkata kerajaan Palestin telahpun membangunkan E-Kerajaan (sistem kerajaan elektronik) bagi komunikasi dan telekomunikasi sosial.

Fatah dan Hamas membentuk kerajaan perpaduan Palestin pada 2 Jun tahun ini ekoran persaingan selama tujuh tahun antara kedua-dua puak di Palestin itu, menamatkan perbalahan selama bertahun-tahun.

Sementara itu, Anggota Majlis dan Presiden Sayap Pemuda Progressive Party of Maldives (PPM) Ibrahim Yusoof berkata kesalinghubungan digital akan membolehkan perkongsian budaya antara negara dan menjadi platform bagi pemimpin negara untuk berhubung dengan rakyat mereka.

“Kesalinghubungan digital membawa kesan yang sangat besar disebabkan apabila anda berhubungan dengan orang lain sama ada menerusi media atau media sosial, anda akan mendapat maklumat terkini tentang peristiwa yang berlaku dengan pantas,” katanya. — Bernama

Advertisement