Anda di sini

Perhimpunan Agung UMNO medan kukuhkan keyakinan orang Melayu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2014 akan membuka tirainya bermula Selasa ini dengan membawa perbincangan untuk mengukuhkan keyakinan orang Melayu bahawa parti itu tetap teguh mempertahankan masa depan politik, ekonomi, dan sosial mereka.

Perhimpunan kali ini diharap membawa kelainan dan merencanakan perubahan serta persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang supaya rakyat daripada semua kaum terutamanya golongan generasi muda kembali menyokong UMNO.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan parti itu kini hanya mempunyai tiga tahun sahaja lagi untuk membuat perubahan drastik bagi memastikan UMNO terus menjadi pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam wawancara bersama media sempena perhimpunan itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui bahawa UMNO berada dalam waktu kritikal dan mempunyai pilihan untuk terus kekal hidup dan bernafas atau hilang ditelan zaman.

Pada masa yang sama, UMNO terbukti telah dan sedang berhadapan dengan pelbagai masalah negara namun masih perlu meneruskan agenda transformasi bagi membolehkan parti itu muncul sebagai wira kepada rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk bangsa Melayu semata-mata.

Menurut Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, UMNO tidak pernah lupa pada prinsip perjuangan untuk agama, bangsa dan negara, namun pada masa sama perlu bertindak sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang turut membawa harapan kaum lain untuk sama-sama menuju ke hadapan.

“Walaupun ada kegelisahan, ahli UMNO perlu faham kita sudah dididik nenek moyang pengasas UMNO bahawa kita mesti bersama kaum lain. Keresahan ini sebenarnya timbul selepas mereka melihat keputusan pilihan raya umum lalu apabila kaum lain tidak menyokong BN”.

Katanya, walaupun UMNO bergerak sebagai sebuah parti Melayu, mereka menerapkan konsep tolak ansur, wasatiyyah atau kesederhanaan kepada anggota dan pemimpinnya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata agenda pemerkasaan bangsa Melayu harus dimantapkan tanpa mengetepikan kepentingan kaum-kaum lain.

“Perjuangan UMNO bukan hanya bermusim sewaktu perhimpunan agung dan pilihan raya, tetapi dilakukan secara berterusan.

“Oleh itu, agenda perjuangan untuk memenuhi keperluan ekonomi dalam kalangan Bumiputera perlu diteruskan dengan memperkasakan penambahan ekuiti sekali gus melonjakkan penglibatan mereka ke arena global,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Berhubung penyertaan golongan muda dalam UMNO, Ahmad Zahid menerangkan perubahan dan penyesuaian perlu dilakukan dalam bentuk sistem komunikasi konvensional dan bersemuka bagi memenuhi citarasa generasi muda sebaik mungkin apa yang terbuku dalam hati mereka mengikut segmen masing-masing.

“Menjelang tahun 2018, terdapat 6.2 juta pengundi muda termasuk pengundi kali pertama. Kalau kita tidak membuat sebarang modifikasi, kita akan berada di lubuk paling bawah,” jelas beliau.

Semasa sambutan ulang tahun UMNO ke-68 pada Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti berkata proses peremajaan UMNO perlu dilaksanakan melalui usaha yang tersusun supaya ia dilihat sebagai sebuah parti yang memang mengiktiraf kepimpinan baharu, intelektual, profesional selain turut mempunyai gandingan generasi muda atau Gen Y.

Bagi menyahut cabaran meremajakan UMNO, Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (PEMANAS) dianjurkan kali kedua hasil kerjasama Kelab UMNO Luar Negara dan Biro Pendidikan UMNO untuk mengangkat suara mahasiswa dalam perhimpunan itu.

Buat julung kali, perbincangan mahasiswa telah bermula menerusi media baharu iaitu Whatsapp Group sebelum bersemuka secara fizikal, dan hasil perbincangan serta input akan dimasukkan dalam teks ucapan perbahasan pada Persidangan Agung UMNO selain pada persidangan sayap Pemuda dan Puteri.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat UMNO perlu mengukuhkan kedudukan dengan meremajakan parti berusia 68 tahun secara berterusan.

“UMNO memang berada di landasan yang betul kerana rantaian pengalaman, dan ini dapat dilihat dengan bilangan kerusi yang dimenangi dalam PRU13, meningkat ke 88 dari 79 kerusi,” kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Katanya bagi menghadapi PRU14, parti-parti komponen tidak boleh hanya bergantung kepada UMNO, malah perlu mencari formula baharu untuk memberi nafas kepada parti itu dalam proses menzahirkan perubahan.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut berpendapat sudah masanya UMNO perlu diremajakan dengan kepimpinan muda yang berkaliber perlu diketengahkan di dalam UMNO.

“Kebimbangan masa kini ialah UMNO gagal melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis yang hebat dan mampu bersaing dengan kepimpinan muda dalam parti pembangkang.

Tumpuan khusus perlu diberikan dalam usaha mencari kepimpinan yang berkualiti dan amanah ini di dalam UMNO,” kata Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM)itu.

Selain memperkukuhkan parti komponen masing-masing, Mohd Azizuddin berkata parti-parti itu juga perlu menyelesaikan masalah dalaman agar dapat menambah kekuatan BN secara keseluruhan.

Apa yang pasti, PWTC sudah bersedia untuk menyambut kehadiran ribuan pengunjung, termasuk seramai 5,739 anggota perwakilan UMNO dari seluruh negara yang dijadual menghadiri perhimpunan yang akan berlangsung sehingga 29 Nov ini. — Bernama

Advertisement