Anda di sini

Pemimpin UMNO harus bijak tangani persepsi negatif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seiring dengan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, pemimpin UMNO harus lebih bijak dan berani dalam menangani persepsi dan tanggapan negatif masyarakat mengenai sesuatu isu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata landskap politik hari ini jauh berubah berikutan kepesatan kemajuan teknologi penyebaran maklumat dan ‘hyperconnectivity’ atau kesalinghubungan digital, menuntut pemimpin Umno untuk bergerak seiring.

“Akan sentiasa ada kekurangan, kalau (pemimpin politik) tak tahu bagaimana nak uruskan persepsi.

“Ini satu kekurangan dan kekangan sekiranya mereka enggan memanfaatkan teknologi,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 2014, yang berakhir semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata parti akan terus berusaha memaksimumkan penglibatan dan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat.

Mengulas perjalanan Pemanas 2014, beliau berkata golongan mahasiswa yang terlibat berasa lebih selesa dan dihargai apabila UMNO, parti tunjang pemerintah, berusaha mengurangkan jurang antara mereka.

Beliau berkata rata-rata mahasiswa berpendapat program ‘engagement’ atau penglibatan seumpama ini dapat menjadi platform berkesan untuk mereka bercakap mengenai isu seperti kos sara hidup mahasiswa atau isu nasional seperti pendidikan percuma.

“Prinsipnya, mereka senang dengan program berbentuk ‘engagement’ kerana  selama ini mereka rasa ada ‘gap’ (jurang) (di antara mahasiswa dan kerajaan). Namun apabila kita berusaha untuk kurangkan ‘gap’ itu, mereka mula terima dan mula bersikap terbuka untuk jadi ejen, ataupun sanggup bawa panji BN (Barisan Nasional) ke dalam masyarakat,” kata Ahmad Shabery, yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara.

Beliau berkata Perhimpunan Agung UMNO 2014 memberi pengiktirafan kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi jurucakap pada sesi perbahasan.

“Dahulu, hanya wakil mahasiswa yang menuntut di luar negara sahaja diberi peluang menjadi jurucakap kerana mereka tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, tapi setelah akta itu dipinda, kita berikan peluang yang sama kepada wakil mahasiswa dalam negara untuk berucap,” katanya. — Bernama

Advertisement