Anda di sini

Aksi mengecewakan

Advertisement

KELUAR PADANG: Pemain Malaysia Gary Steven (kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. — Gambar AFP

Malaysia hanya seri tanpa jaringan menentang Myanmar

SINGAPURA: Malaysia mempamerkan aksi mengecewakan selepas seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada aksi pembukaan kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, di sini semalam.

Keputusan berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata.

Keadaan hujan sebelum perlawanan nyata tidak menganggu rentak kedua-dua pasukan dan mereka saling berbalas serangan sebaik sahaja pengadil, Kurbanov Charymurat dari Turkmenistan meniupkan wisel permainan.

Malaysia seharusnya berada di hadapan sea­wal minit kelima, namun jaringan Mohd Amri Yahyah hasil hantaran rakan sepasukan, dibat­alkan oleh Kurbanov selepas penyerang Johor Darul Ta’zim itu dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan.

Skuad negara kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-34 selepas pemain tengah, Gary Steven Robbar diperin­tahkan keluar padang oleh Kurbanov kerana mengutip kad kuning kedua.

Kekurangan seorang pemain bagaimanapun gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera serangan Myanmar bagi mencari gol penda­huluan dan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya separuh masa perlawanan.

Bersambung babak kedua, Myanmar dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu Malaysia namun dipatahkan oleh barisan perta­hanan negara diketuai pemain veteran, Muhammad Shukor Adan.

Penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat menjadi wira ne­gara selepas banyak menyela­matkan percubaan berbahaya pasukan Myanmar yang men­dapat sokongan lebih 5,000 penyokong setia mereka yang menyaksikan perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pendahu­luan namun keputusan seri 0-0 kekal sehingga berakhirnya per­lawanan itu.

Tuan rumah bersama, Sin­gapura yang merupakan juara bertahan memulakan kempen mereka berdepan juara tiga kali, Thailand di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub semalam.

Pada aksi kedua kumpulan Rabu ini, Malaysia akan me­nentang Thailand di venue yang sama. — Bernama

Advertisement