Anda di sini

Kehadiran Billy beri impak buat Sarawak

Advertisement

KUCHING: Kehadiran penyerang import baharu, Billy Mehmet sudah pasti akan memberi impak positif kepada Sarawak untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini ekoran masalah ketumpulan jentera serangan dihadapi Sarawak sebelum ini ketika bekas penyerang import dari Bosnia, Muamer Salibasic dibelenggu kecederaan berpanjangan.

Billy, 30, dijangka bergandingan dengan Ryan Alan Griffiths sambil dibantu penyerang import tempatan, Mohd Nazri Kamal.

Lebih menarik, kali ini skuad Ngap Sayot mempunyai ramai pilihan diletakkan selaku penggempur kerana pemain lain seperti Joseph Kalang Tie mampu menggalas tugas penyerang.

Penolong jurulatih Sarawak, David Usop menganggap kehadiran Billy akan memberi tonik tambahan kepada Sarawak terutamanya ketika menggempur pertahanan lawan.

“Kita sedia maklum pemain ini (Billy) adalah penjaring terbanyak pasukan Kedah musim ini.

“Saya berharap gandingan bersama Ryan memberi impak baik kepada Sarawak musim depan,” katanya di sini semalam.

Dengan menandatangani Billy, Sarawak kini mempunyai ramai pilihan di barisan depan seandainya salah seorang penyerang mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.

“Kita sekarang mempunyai banyak pilihan dan merupakan satu kelebihan kepada pasukan Sarawak,” ujarnya.

Selain Billy dan Ryan, skuad Ngap Sayot turut mengekalkan pertahanan import, Gabor Gyepes.

Sarawak kini memerlukan seorang lagi pemain import untuk beraksi di bahagian tengah.

Setakat ini, Ivan Patic dari Montenegro dan Ronald Djam (Cameroon) masih bersaing mengisi satu lagi slot pemain import asing sebelum pendaftaran pemain ditutup pada 5 Disember depan.

Advertisement