Anda di sini

Pencari pokok paku aji patah kaki kiri dihempap batu

Advertisement

BALING: Seorang pencari pokok paku aji, sejenis paku-pakis yang hidup liar di puncak gunung, patah kaki kiri akibat dihempap batu ketika sedang mencari tumbuh-tumbuhan itu di puncak Gunung Padang Cik Mas dekat sini kelmarin.

Zainol Abidin Taib, 46, dari Kampung Padang Cik Mas, naik ke puncak gunung itu bersama tiga anaknya berusia 14 hingga 22 tahun serta tiga lagi pemuda kampung berkenaan berusia 17 hingga 20 tahun awal pagi kelmarin.

Anak Zainol Abidin, Mohd Farid Hisham, 22, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin apabila bapanya cuba mengalih batu untuk mendapatkan pokok berkenaan yang berada di celah-celah batu.

Berikutan itu, keenam-enam mereka berusaha membantu Zainol Abidin namun gagal dan Mohd Farid Hisham terpaksa mencari jalan turun dari gunung untuk mendapatkan bantuan orang kampung.

Mohd Farid Hisham mengambil masa lebih dua jam untuk turun mendapatkan bantuan penduduk Kampung Padang Cik Mas untuk membawa turun bapanya yang patah kaki dari puncak gunung.

Penduduk kampung kemudian memaklumkan pihak berkuasa bagi usaha mencari dan membawa turun Zainol Abidin dan lima lagi pemuda kampung yang berada di puncakgunung itu.

Operasi menyelamat diketuai Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Baling Mohd Suffian Alias bersama 12 anggota bomba, tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam, 10 anggota Rela serta penduduk kampung, yang bermula jam 5.20 petang.

Mohd Suffian berkata pasukan penyelamat terpaksa membentuk tiga pasukan untuk membawa turun Zainol Abidin yang keletihan dan langsung tidak boleh berdiri.

“Hasil kerjasama semua pasukan kami berjaya membawa turun mangsa ke bawah dan dihantar ke Hospital Daerah Baling untuk mendapatkan rawatan kecemasan jam 10.20 malam. Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk membawa mangsa turun,” katanya.

Beliau berkata lima lagi pemuda yang bersama mangsa dapat turun dengan selamat.

Sementara itu, Mohd Farid Hisham berterima kasih kepada anggota bomba, RELA dan JPAM serta penduduk kampung yang membantu membawa bapanya turun dari puncak gunung itu.

“Saya dan dua adik saya ingin mengikut bapa mencari pokok paku aji di gunung.

Tidak sangka pula akan berlaku begini hingga terpaksa mendapatkan bantuan untuk membawa bapa turun kerana kakinya patah,” katanya. — Bernama

 

Advertisement