Anda di sini

Mangsa banjir ambil peluang cuaca baik pulang sebentar ke rumah

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Keadaan cuaca yang bertambah baik sejak pagi semalam di Terengganu membolehkan penduduk yang terjejas akibat banjir pulang sebentar ke rumah masing-masing.

Pemangku Setiausaha MKN Terengganu, Roslina Ngah berkata tiada hujan direkodkan oleh stesen data cerapan setakat tengah hari semalam dan ia mempercepatkan lagi proses pemulihan banjir.

“Paras air sungai utama di Terengganu juga kini semakin menunjukkan trend penurunan berbanding paras bahaya yang dicatatkan petang semalam (kelmarin).

Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan agar terus tinggal di pusat pemindahan banjir sehingga cuaca benar-benar pulih untuk memastikan tahap keselamatan mereka terjamin,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini kelmarin.

Walaupun cuaca bertambah baik, semua agensi kerajaan yang terlibat banjir juga masih dalam keadaan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Marang mendapati penduduk terjejas banjir mengambil peluang itu untuk pulang sebentar ke rumah masing-masing untuk membersihkannya.

Bagi Muhammad Rafie, 43, beliau pulang sebentar untuk memastikan keadaan rumahnya berada dalam keadaan baik dan mahu mengasingkan barangan yang masih elok untuk digunakan selepas ini.

“Ada juga jiran yang mahu terus tinggal di rumah malam ini (malam tadi), namun, saya akan tetap tinggal di pusat pemindahan sehingga keadaan cuaca benar-benar pulih,”katanya. — Bernama

Advertisement