Anda di sini

Lelaki OKU korban kedua banjir di Terengganu

Advertisement

KUALA NERUS: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menjadi korban kedua banjir di Terengganu selepas ditemui mati lemas dalam sebuah alur sungai di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, di sini, malam kelmarin.

Mayat Muda Abdullah, 48, ditemui anggota keluarga dan penduduk kampung di dalam alur sungai itu selepas solat Isyak kira-kira jam 8.30 malam.

Kakak lelaki itu, Esah Abdullah berkata gerakan mencari adiknya itu dilakukan selepas didapati tiada di rumah pada kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Esah, 57, petugas di Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) berkata mereka menemukan selipar dan payung milik anak bongsu daripada enam beradik itu di tepi sungai berkenaan.

Selepas beberapa jam mencari, adiknya itu ditemui mati lemas di alur sungai berkenaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini semalam. — Bernama

Advertisement