Anda di sini

ATM sedia tambah anggota di Pantai Timur

Advertisement

KUALA NERUS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menambah bilangan kekuatan anggotanya jika banjir yang melanda Pantai Timur semakin parah dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Datuk Azmy Yahya berkata kira-kira 1,725 pegawai dan anggota bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir yang mula melanda Terengganu dan Kelantan.

Katanya kesemua mereka telah diletakkan dalam keadaan bersedia dan perkhidmatan telah bermula sebelum banjir melanda kedua-dua negeri berkenaan pada 17 november lepas.

“Kita sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan dan sebaik dua negeri ini dilanda banjir kita telah menghantar kekuatan bagi melicinkan proses pemindahan dan menyelamat mangsa khususnya di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir serta kita akan menambah bilangan anggota mengikut keperluan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya setakat ini lapan pegawai bersama 88 anggota dan peralatan logistik telah dihantar ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak kerana lokasi itu paling ramai mangsa banjir.

Jelasnya selain tugas menyelamat pasukan tentera juga turut menempatkan pasukan perubatan terdiri daripada dua doktor dan 18 anggota berserta peralatan perubatan dan ambulans di lokasi berkenaan bagi membantu mangsa banjir. — Bernama

 

Advertisement