Anda di sini

80 wanita Kampung Sungai Nibong sertai program kraf kreatif

Advertisement

Oleh Kelvin Lambai

 

KENANGAN: Ajis (berdiri empat kanan, barisan belakang), Mohd Speri (berdiri, empat kiri), Zuraida (tiga kiri), Dingin (tiga kanan), Saloma (dua kiri), Sahiza (kiri) serta tetamu lain bergambar bersama peserta selepas selesai program.

SERAMAI 80 orang kaum wanita dari Kampung Sungai Nibong, Sebuyau telah menyertai Program Kraf Kreatif (Membuat Bakul Plastik) anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Batang Lupar di balai raya kampung tersebut, baru-baru ini.

Pengerusi MPWK Batang Lupar Zuraida Julai berkata, objektif utama program ini dianjurkan ialah untuk membekalkan para peserta dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kraf tangan.

“Kraf kreatif ini adalah program ‘outreach’ Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk manfaat wanita khususnya wanita di luar bandar serta untuk menyediakan maklumat keusahawanan untuk menggalakkan para peserta menceburi bidang kraf tangan selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sebuyau Ajis Ahmad ketika menyampaikan ucapan ringkas bagi menutup rasmi program berkenaan berkata, penghasilan produk kraf tangan yang diperbuat daripada plastik dilihat mampu menjana ekonomi kaum wanita di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, produk-produk kraf tangan seperti ini bukan setakat dihasilkan untuk digunakan oleh kaum keluarga sendiri, sebaliknya ia boleh dijual ke kawasan lain untuk menjana pendapatan kaum wanita.

“Saya percaya kaum wanita kita hari ini semakin hari semakin kreatif, mereka bukan hanya mampu membuat kraf tangan berbentuk bakul melalui plastik tetapi kini sudah ramai yang mampu menghasilkan pelbagai kraf tangan menggunakan surat khabar,” ujarnya lanjut.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Pegawai Khas Parlimen Batang Lupar merangkap Pegawai Penyelaras DUN Sebuyau Mohd Speri Abdul Karim, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak DUN Sebuyau Sahiza Yaman, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sebuyau Saloma Murni, Tuai Rumah Kampung Nibong, Tuai Rumah Dingin Bunsing serta Pelatih Program Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Rosnizawati Mohamad.

Advertisement