Anda di sini

Sukan Muaythai mampu berkembang

Advertisement

GAGAH: Seorang peninju muaythai dari Bintulu dibawa memasuki gelanggang untuk pertarungan peringkat akhir.

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

SUKAN muaythai di Bahagian Bintulu mampu berkembang jika melihat kepada kehadiran ramai penduduk dan peminat sukan itu menyaksikan Kejohanan Piala Pusingan Muaythai Bintulu Terbuka yang julung kali diadakan di Bintulu.

Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari berkata, kejohanan yang diadakan pada 14 hingga 16 November lalu bukan hanya disertai oleh peserta dari Bintulu bahkan dari luar negeri ini yang kesemuanya 60 orang.

Katanya, kehadiran ikon muaythai Mohd Faizal Ramli yang juga dikenali sebagai ‘siku emas’ turut menarik kehadiran ramai orang yang bermakna Sukan Muaythai Bintulu ada potensi untuk berkembang.

“Justeru, kita berharap melalui kejohanan ini, ia mampu menjadi satu wadah untuk peminat-peminat sukan di Bintulu mengasah dan mengetengah bakat-bakat mereka,” ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Kejohanan Piala Pusingan Muaythai Bintulu Terbuka di Gelanggang Muaythai Dataran Esplaned, baru-baru ini.

Beliau berkata, Bintulu kini mempunyai persatuan sukan muaythainya sendiri dan ada empat kelab bernaung di bawahnya iaitu Kelab Muaythai Jepak, Kelab Muaythai Polycarp Sim, Kelab Muaythai PS Sibew dan Kelab Muaythai Kenyalang.

“Bagi masyarakat Bintulu, usaha murni ini (membangunkan sukan muaythai) amat disokong dan penganjuran awal kejohanan ini memberi petanda positif kepada penduduk khasnya anak-anak Bintulu,” jelasnya.

Menurutnya, dengan sokongan semua pihak, kejohanan seumpamanya diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Mungkin tahun hadapan bantuan dan sumbangan daripada Kementerian Pelancongan akan dapat menyokong sukan muaythai negeri ini.

“Kita menyokong sukan ini kerana kita percaya kejohanan ini merupakan satu usaha murni yang menampakkan semangat kesukanan yang tinggi terutamanya yang ditunjukkan oleh peserta sekali gus dapat meningkatkan disiplin pesertanya di dalam dan luar gelanggang,” tambahnya.

Beliau berkata, sokongan semua pihak akan membantu meningkatkan  tahap penganjuran kejohanan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Advertisement