Anda di sini

SOP Bencana MKN bakal tingkatkan siap siaga hadapi bencana alam

Advertisement

JOHOR BAHARU: Peraturan Tetap Operasi (SOP) Bencana yang kini di peringkat akhir untuk disiapkan, bakal meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan semua agensi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor.

Pemangku Setiausaha Keselamatan Negeri Johor Azura Muhammed Kifli berkata SOP yang dilakukan penambahbaikan itu bukan sahaja memberi fokus kepada bencana banjir tetapi turut memuatkan panduan menghadapi siklon tropika (ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer).

“Kita (MKN) menilai kembali SOP ini kerana meng-ambil kira trend bencana di negara ini yang berubah. Kalau dulu, kita lihat kebanyakan bencana dihadapi negara berskala kecil dan sederhana tetapi sekarang, skala sederhana dan boleh ke tahap besar dan ekstrem.

“Jenis-jenis bencana juga sudah pelbagai,” katanya dalam satu temuramah di Pejabat MKN Johor, Nusajaya, baru-baru ini.

Azura berkata draf SOP Bencana itu bakal dikeluarkan oleh MKN pusat di Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mengenai persiapan MKN menghadapi banjir di Johor, Azura berkata agensi itu sentiasa menggunakan konsep pengurusan risiko bencana menyeluruh yang diamalkan secara berterusan dan bukan sekadar mengikut musim bencana.

Ia merangkumi tiga tahap iaitu tahap pencegahan dan peredaan bencana, kesiap-siagaan serta tahap tindak balas dan pemulihan yang mana usaha-usaha itu bermula seawal tahun ini.

Selain mengemaskini SOP, MKN turut memantapkan lagi rangkaian perkongsian maklumat antara agensi termasuk mewujudkan kumpulan WhatsApp dan e-mel yang meliputi lebih 15 agensi penyelamat dan bantuan di negeri ini.

Pada masa sama, Azura berkata MKN juga me-ngemaskini profil bencana di semua lokasi banjir yang dijangka bermula Disember ini sehingga Januari tahun depan bagi mengurangkan tahap risiko bencana.

Beliau berkata tahap ke-sedaran turut dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat menerusi program Peng-urusan Bencana Berasaskan Komuniti bagi menyiapkan diri dalam menghadapi banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku dengan intensiti lebih tinggi dalam tempoh lebih lama, kita jangkakan kawasan-kawasan pantai timur Johor seperti Mersing, Kota Tinggi, Johor Baharu, Segamat dan Kluang akan mengalami banjir,” kata beliau.

Pada masa ini, agensi penyelamat seperti bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan tentera telah mempersiapkan sejumlah 4,495 anggota peringkat negeri dan daerah serta menyediakan 276 buah bot di samping lori tiga dan lima tan bagi operasi menyelamat dan memindahkan penduduk.

“Bagi agensi yang menyediakan bantuan makanan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka menyedia dan mewartakan 628 pusat pemindahan seluruh Johor yang boleh menampung 172,295 mangsa,” kata Azura.

Selain itu, bekalan pangkalan hadapan turut dihantar dan disediakan di kawasan-kawasan sukar dihubungi iaitu di pedalaman seperti pulau-pulau di Mersing dan perkampungan orang Asli.

Sementara itu, MKN Johor yang kini mempunyai 23 anggota akan bertugas mengikut giliran sebaik sahaja bilik gerakan bencana dibuka bagi menyelaraskan operasi.

Azura berkata orang ramai dinasihati agar peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, selain bekerjasama dengan MKN dalam menyalurkan maklumat kawasan-kawasan dinaiki air kepada agensi berkaitan bagi mempercepatkan operasi menyelamat.

Bagi mereka yang me-rancang bercuti, pastikan merancang perjalanan dan mengelak melalui kawasan yang dijangka dinaiki air.

“Orang ramai boleh me-layari portal MKN di http://portalbencana.mkn.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir mengikut negeri. Dalam portal tersebut terdapat maklumat kawasan banjir, pusat pemindahan yang dibuka, jalan-jalan terputus dan jalan alternatif serta maklumat bergambar banjir,” kata beliau.

Orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan banjir MKN di 07-29088008 atau mengikuti twitter MKN @PortalBencana bagi menge-tahui maklumat terkini me-ngenai banjir. — Bernama

Advertisement