Anda di sini

MH17: Keluarga mangsa boleh tuntut pampasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh boleh menuntut ganti rugi daripada mana-mana negara yang didapati menembak pesawat itu.

Pensyarah Jabatan Undang-undang Sivil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohammed Naqib Ishan Jan berkata sebelum ini, terdapat kes serupa dalam kejadian melibatkan pesawat Iranian Air Penerbangan 655.

“Apabila Tentera Laut Amerika (didakwa) menembak jatuh pesawat Iran itu pada Julai 1988, Iran memfailkan saman terhadap Amerika di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Walaupun Amerika tidak mengaku bertanggungjawab dan memikul liabiliti kerana menambak jatuh pesawat itu, mereka (bagaimanapun) membayar ganti rugi.

“Kes itu diselesaikan di luar mahkamah melalui proses bukan perundangan. Amerika bersetuju membayar ganti rugi sebanyak AS$61.8 juta kepada 243 warga Iran yang menaiki pesawat itu agar Iran tidak meneruskan kes berkenaan,” katanya.

Mohammed Naqib berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘War Crimes of Targetting Civilians: Examining the Downing of Malaysia Airlines MH17’ pada Persidangan Antarabangsa mengenai Undang-undang, Ketenteraman dan Keadilan Jenayah 2014 di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di sini semalam.

Katanya, oleh kerana jenayah yang didakwa dilakukan itu adalah jenayah perang, maka ia (jenayah perang) tertakluk kepada bidang kuasa universal.

“Bidang kuasa universal adalah bidang kuasa jenayah yang semata-mata berlandaskan jenis jenayah, tanpa mengambil kira di mana jenayah itu dilakukan, kewarganegaraan pelaku yang didakwa atau yang disabitkan kesalahan melakukannya, kewarganegaraan mangsa atau sebarang hubungan lain dengan negara yang melaksanakan bidang kuasa itu,” katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar siasatan jenayah antarabangsa dijalankan terhadap tragedi MH17 untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dikenakan tuduhan jenayah.

Pada 17 Julai, pesawat MAS Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 43 rakyat Malaysia. — Bernama

Advertisement