Anda di sini

Kebanjiran warga asing antara penyumbang kadar jenayah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kebanjiran warga asing menjadi antara penyumbang kepada kadar kes indeks jenayah di negara ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, ada antara warga asing itu melakukan aktiviti jenayah mereka secara bersiri dan bersindiket dengan menjadikan rakyat negara ini dan luar negara sebagai mangsa.

“Mereka (penjenayah warga asing) telah mewujudkan rangkaian sindiket penipuan dengan menggunakan komputer dan internet sebagai alat utama penipuan.

Mereka juga menjadikan wanita-wanita tempatan sebagai rakan sejenayah serta membawa keluar hasil penipuan ke negara asal melalui kemudahan sistem perbankan eletronik yang terdapat di negara ini,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu jumlah terkini penjenayah asing yang ditahan di negara ini dan jumlah kerugian atau perbelanjaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Wan Junaidi berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 19,056 orang warga asing ditangkap atau 12 peratus daripada keseluruhan 147,062 kes indeks jenayah yang dilaporkan seluruh negara.

Sementara pada tahun ini pula, beliau berkata sehingga September lalu seramai 14,143 orang warga asing telah ditangkap atau 14 peratus daripada 97,393 kes indeks jenayah yang dilaporkan.

Pihak polis sentiasa memberi perhatian yang serius dalam membendung kegiatan jenayah yang melibatkan warga asing, sama ada mereka datang untuk melancong, belajar atau bekerja di negara ini, yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan keharmonian rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Santubong itu memberitahu sidang dewan bahawa PDRM telah membelanjakan lebih RM22.87 juta ketika insiden pencerobohan Lahad Datu. — Bernama

Advertisement