Anda di sini

Harga petrol: Kerajaan tidak boleh ikut kehendak individu atau parti

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan tidak boleh mengikut kehendak mana-mana individu dan parti politik dalam membuat keputusan untuk menurunkan harga petrol di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata keputusan menurunkan harga petrol itu hanya boleh dibuat sekiranya harga minyak mentah turun ke paras lebih rendah di pasaran dunia.

“Kita bukan buat keputusan berdasarkan demonstrasi atau mana-mana desakan… kita buat keputusan apa yang betul dan baik untuk rakyat dan jika pembangkang mahu mengadakan demonstrasi (desak turunkan harga petrol diturunkan) itu terpulang pada mereka.

Keputusan menurunkan harga petrol dibuat berdasarkan data dan fakta, sekiranya OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) memutuskan supaya pengeluaran minyak dikurangkan, harga minyak dunia pasti akan naik…jadi mereka (pembangkang) mahu buat demonstrasi untuk apa?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli bahawa parti itu akan mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga petrol menjelang tarikh demonstrasi itu.

“Jika berlaku penurunan harga minyak mentah dunia di bawah tahap subsidi (kerajaan), saya sendiri akan mencadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya turunkan harga petrol berkadaran dengan harga minyak dunia,” katanya.

Mengulas mengenai harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara yang turun 20 sen seliter kepada RM2.55 seliter daripada RM2.75 seliter berkuat kuasa tengah malam kelmarin, Ahmad berkata langkah itu selaras dengan penurunan harga pasaran bahan api itu di pasaran dunia.

Jelasnya, harga runcit RON97 tidak ditentukan oleh subsidi kerajaan sebaliknya mengikut ‘apungan terurus’ dan harga akan berubah mengikut kuasa pasaran. — Bernama

Advertisement