Anda di sini

Dua ibu muda harungi air banjir bersama bayi di Kampung Tiong

Advertisement

KOTA BAHARU: Dua ber-adik yang merupakan ibu muda terpaksa mengharungi air dan menaiki bot untuk menyelamatkan diri bersama bayi sulung masing-masing apabila rumah mereka di Kampung Tiong di sini, dinaiki air semalam.

Nor Azirah Jaafar, 19, bersama anaknya Mohd Abid Zafran Zaidan yang berusia dua bulan dan adiknya Nor Aisyah Jaafar, 18, bersama anaknya Mohd Haikal Anaqi Arshad Mohd Hilman yang berusia satu bulan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini.

Menceritakan pengalamannya, Nor Azirah berkata beliau dan adiknya yang tinggal bersama ibu mereka Nik Som Nik Sah, 53, terpaksa mengharungi air bersama bayi masing-masing pada jam 3 pagi.

“Memang air dah naik…dah sampai paras pinggang, kami semua terpaksa pindah dengan segera kalau tidak kami tidak boleh keluar.

“Saya bersama suami dan adik bawa anak masing-ma-sing dalam hujan dan Alhamdulillah proses pemindahan berjalan lancar,” katanya kepada pemberita di sini.

Nor Azirah berkata pe-ngalaman itu sukar dilupakannya, kerana musim tengkujuh kali ini terpaksa diharungi bersama anak sulungnya.

“Kalau dulu saya harungi air banjir seorang diri tapi kali ini bersama anak dan suami…ia memang mencabar, memang dia (bayi) ada meragam sedikit tetapi dah baik.

“Setakat ini anak sihat dan saya harap bantuan seperti selimut dan juga makanan cepat sampai, kami berterima kasih kepada pihak bomba kerana cepat memberi pertolongan dan bantuan untuk memindahkan kami semua,” katanya.

Nor Aisyah pula berkata beliau dan kakak serta ibu mereka telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi musim tengkujuh kali ini.

“Memang pakaian semua kami dah sedia…cuma tinggal nak pindah, syukur segalanya berjalan lancar.

“Ini semua terpaksa saya lalui tanpa suami kerana dia sedang kerja di luar negeri ini,” katanya.

Ibu mereka Nik Som berkata beliau juga sukar melupakan pengalaman bersama anak dan dua cucu yang masih kecil mengharungi banjir.

“Memang dah biasa harung air banjir tapi kali ini ada anak cucu sekali. Memang gementar sedikit bimbang cucu tidak sihat. Alhamdulillah kami semua selamat,” katanya.

Sebanyak 30 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan ber-kenaan. — Bernama

Advertisement