Anda di sini

AKPK nafi lantik khidmat orang tengah

Advertisement

Orang ramai diminta berurusan terus dengan kakitangan AKPK tanpa sebarang bayaran  

KUANTAN: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menafi melantik individu atau orang tengah dalam membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat AKPK Azman Hashim berkata kebelakangan ini pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang terpedaya sehingga terpaksa membayar lima hingga 10 peratus daripada jumlah pinjaman mereka jika ingin mendapatkan khidmat AKPK.

“Orang tengah itu akan menelefon mangsanya secara rawak dan jika bersetuju menggunakan khidmatnya, pelanggan akan dibawa ke AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat namun bayaran yang dikenakan boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jumlah pinjaman,” katanya kepada pemberita selepas taklimat AKPK bersama kakitangan swasta dan agensi kerajaan di sini semalam.

Azman berkata dalam aduan yang diterima, ada individu yang terpaksa membayar sehingga RM10,000 untuk perkhidmatan jika pinjaman mereka berjumlah RM100,000 sedangkan AKPK tidak mengenakan sebarang caj bagi setiap perkhidmatannya.

Beliau berkata orang ramai sepatutnya berurusan terus dengan kakitangan AKPK dengan mengunjungi pejabat berhampiran kerana semua perkhidmatan disediakan secara percuma.

“Kita komited membantu orang ramai dalam menguruskan kewangan masing-masing secara bijak dan sistematik termasuk memberi khidmat nasihat dalam menangani masalah bebanan hutang.

“Oleh itu orang ramai jangan mudah terpedaya jika ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran,” katanya.

Beliau berkata pemantauan berterusan akan dibuat dan tindakan susulan akan diambil agar kejadian tersebut tidak berulang selain bagi menjaga nama baik AKPK.

Di samping itu, beliau mahu masyarakat mengubah persepsi bahawa AKPK hanya khusus kepada golongan berhutang sahaja kerana agensi berkenaan turut memainkan peranan membantu memantapkan lagi ekonomi selain memberi khidmat nasihat dalam pelaburan kewangan.

“Kita mahu masyarakat menguruskan kewangan dengan bijak dan sistematik selain mengelak daripada menjadi mangsa bebanan hutang yang boleh menyebabkan diisytihar muflis,” katanya. — Bernama

Advertisement