Anda di sini

21 pelajar bertuah terima dermasiswa Yayasan KTS

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

UNTUK ALBUM: Para pelajar yang menerima dermasiswa Yayasan KTS merakamkan kenangan bersama Ling (duduk tengah), guru-guru dan ibu bapa mereka.

SERAMAI 21 pelajar bertuah dari lima sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional di Bintulu menerima dermasiswa daripada Yayasan KTS baru-baru ini.

Dermasiswa itu disampaikan Pengurus See Hua Marketing Sdn Bhd Cawangan Bintulu Ling Tiing Hung di pejabatnya di Taman Sri Dagang di Bintulu baru-baru ini.

Pelajar terbabit masing-masing menerima RM300 pada tahun ini berbanding sebelumnya hanya RM200 dan langganan percuma akhbar See Hua Group sama ada Utusan Borneo, Borneo Post atau See Hua Daily News selama setahun pada tahun hadapan.

Pelajar yang menerima dermasiswa itu terdiri daripada empat pelajar dari SMK Baru iaitu Wong Siew Sze, Michellorna Ballrully, Adheline Osman dan Mizuanaliza Masleh; lima pelajar dari SMK Tatau Brendan Anja Nyilang, Suriani Suardi, Tau Zhu Fu, Mariano Hodgson Mekai dan Cathrine Nyanggau; tiga pelajar dari SMK Bandar Amigo Tiong Lui Fung, William Tila Sayang dan William Ngu Chien Wei; dua pelajar dari SMK Bintulu Nurjehan Masu’ut dan Nur Sharmila Haijal.

Diikuti empat pelajar dari SMK Kemena Nurkasih Izzummy Saipol, Nurkasih Izzylnn Saipol, Tonny Salleh dan Izzah Syafiqah Fadillah. Manakala tiga pelajar lagi dari Kolej Vokasional Bintulu Nazrul Hafifi Aban, Jennifer Rety Mandau dan Marylene Ulak.

Sementara itu, Ling berharap pelajar yang menerima insentif dermasiswa itu dapat menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya untuk membantu pendidikan mereka sekali gus menjadi pendorong kepada mereka untuk rajin belajar.

Dermasiswa itu diberikan setiap tahun sejak tahun 2009 kepada pelajar yang layak dan cemerlang dalam pelajaran mereka serta merupakan pelajar daripada keluarga yang memerlukan yang bersekolah di sekolah menengah di negeri ini.

Dana untuk biasiswa telah disediakan oleh Yayasan KTS yang diuruskan oleh KTS Mutual Sdn Bhd.

Yayasan itu telah dilancarkan secara rasmi pada Januari 2001 oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada masa itu dengan dana permulaan sebanyak RM10 juta.

Jumlah yang telah dilaburkan itu khusus untuk tujuan pendidikan, kebajikan dan sukan di negeri ini.

Jumlah keseluruhan dermasiswa yang disampaikan kepada 21 pelajar di Bintulu tahun ini ialah RM6,300.

Selain Bintulu dermasiswa yang sama turut disampaikan kepada pelajar di Kuching, Sibu dan Miri.

SUMBANGAN KTS: Guru SMK Tatau (kanan) menerima dermasiswa bagi pihak pelajarnya daripada Ling.

TERIMA KASIH: Empat pelajar SMK Baru menerima dermasiswa Yayasan KTS.

Advertisement