Anda di sini

Tiga beranak maut dalam kemalangan di Dungun

Advertisement

DUNGUN: Tiga beranak maut selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa kayu balak di Kilometer 6, Jalan Bandar Al Muktafi Billah Shah-Pasir Raja di sini pagi semalam.

Mangsa ialah Rizal Zhafri Ibrahim, 22, yang memandu kenderaan pelbagai guna itu, kakaknya Suliana, 28, dan bapa mereka Ibrahim Salim, 67.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika mereka dalam perjalanan dari rumah mereka di Pasir Raja untuk menziarahi seorang lagi anggota keluarga mereka yang terlibat dalam kemalangan di Paka sejam sebelum itu.

“Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke kanan jalan selepas melalui satu selekoh, sebelum bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

“Kesemua mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Seorang lagi anggota keluarga berkenaan, Rashdan Ibrahim, 27, berkata beliau dihubungi seorang lagi kakaknya mengenai kemalangan itu.

Pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Jenazah dilapor dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Raja di sini. — Bernama

Advertisement