Anda di sini

Prestasi Harimau Malaya merisaukan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyuarakan kebimbangan baginda terhadap prestasi merosot skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini.

Tengku Abdullah bertitah banginda menaruh harapan tinggi kepada skuad bimbingan Dollah Salleh yang hanya mempunyai masa seminggu sahaja untuk menjelmakan kekuatan sebenar menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura bermula 23 November ini.

“Saya sangat risau dengan prestasi skuad negara. Saya berharap mereka (skuad Harimau Malaya) akan bangkit pada Piala AFF Suzuki nanti. Hanya pemain dan jurulatih sahaja yang boleh menentukan kejayaan pasukan.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, kita perlu memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan. Hakikatnya saya mahu mereka bangkit dan menang,” titah baginda pada sidang media sempena majlis penyampaian cek daripada Bank Islam Berhad (Bank Islam) kepada FAM kelmarin.

Skuad Harimau Malaya menunjukkan prestasi merosot apabila kalah dalam empat daripada lima perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi Piala AFF Suzuki.

Pasukan kebangsaan kalah 4-1 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos selain kecundang 2-0 kepada Indonesia pada 14 Sept lepas di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia.

Skuad turut diaibkan dengan kekalahan 3-0 kepada skuad Bawah 23 (B-23) Syria di Stadium Shah Alam, Rabu lepas dan semalam tewas 3-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam.

Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 Sept lepas.

Berikutan kekalahan demi kekalahan itu, Tengku Abdullah dalam ucapannya menyeru semua pemain perlu bangkit semula menaikkan nama negara di peringkat Asean. — Bernama

Advertisement