Anda di sini

Pegawai Tadbir KEDA mengaku tidak bersalah minta habuan seks

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Tadbir Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyan di sini, semalam terhadap dua tuduhan membabitkan layanan seks sebagai dorongan membantu meluluskan permohonan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kedah.

Bagi tuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky Fried Chicken (KFC), Jalan Limbong Kapal di sini pada 10.45 pagi, 10 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Heris juga dituduh memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama di bilik bernombor 101, Hotel Royale Jalan Putra di sini pada jam 2.45 petang, 13 Nov lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Firdaus Sekman@Abdullah manakala tertuduh belum melantik peguam.

Hakim Azhar Mokhtar menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Heris membayar jaminan berjumlah RM8,000 itu.

Sebelum itu, dalam rayuannya Heris memberitahu dia telah berkhidmat dengan KEDA selama 33 tahun dan kini merupakan Pegawai Tadbir gred N44.

Azhar kemudian menetapkan 2 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu selain membolehkan tertuduh melantik peguam. — Bernama

Advertisement