Anda di sini

Chin raih tempat ketiga Motocross AAM

Advertisement

RAI KEJAYAAN: Chin (kanan), Fadzil dan Faiz meraikan kejayaan di atas podium.

KUCHING: Pelumba motocross Kelab Motocross Sarawak (SMC), Chin Vui Ming meletakkan nama sebaris dengan pelumba terbaik negara susulan kejayaan meraih tempat ketiga pada pusingan kelima Kejohanan Motocross AAM Malaysia 2014 di Taman Ekstrim Motocross Johor pada 16 November lalu.

Chin mengutip 129 markah untuk berada di belakang juara yang juga pelumba tuan rumah, Mohd Fadzil Embok Chening (132) dan adiknya, Mohamad Faiz Chening (131).

Seramai 12 pelumba seluruh negara terlibat dalam sirkit akhir anjuran bersama Kelab Motor Johor dan Johor Land Berhad.

Empat sirkit sebelum ini telah berlangsung di Gong Badak Terengganu, Kota Samarahan (Sarawak), Bandar Baru Dato Onn Johor, Permy Jaya Miri Sarawak.

Presiden SMC, William Sinos mengucapkan syabas kepada Chin atas kejayaannya dan percaya pencapaian pelumba itu akan memberi inspirasi kepada pelumba lain untuk memberikan yang terbaik ketika bersaing pada perlumbaan di luar Sarawak.

Beliau yang mengetuai kontinjen Sarawak pada perlumbaan itu juga berharap peminat sukan bermotor akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada SMC untuk menggiatkan usaha mempromosi dan membangunkan sukan tersebut.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Persatuan Sukan Lumba Otomotif Sarawak (SARSA) atas sokongan berterusan dalam menganjurkan pelbagai perlumbaan dan aktiviti berkaitan.

“Pelumba yang berdaftar di bawah SMC sangat komited dan bercita-cita tinggi. Namun, mereka juga memerlukan sokongan dalam bentuk tajaan pelbagai pihak untuk memburu impian,” katanya.

Kejohanan Motocross AAM Malaysia adalah aktiviti tahunan kebangsaan bermula sejak 2008.

Advertisement