Anda di sini

700 pendidik rai sambutan Maal Hijrah Kementerian Pendidikan di Pekan

Advertisement

PEKAN: Tujuh ratus warga pendidik dari seluruh negara, hadir meraikan sambutan Maal Hijrah peringkat Kementerian Pendidikan yang diadakan di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Khairil Awang yang mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Antara pengisian program pada majlis itu adalah bacaan ayat suci al-Quran, ceramah khas Maal Hijrah, persembahan multimedia dan per-sembahan pelajar.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Khair berkata masyarakat Islam hari ini tidak seharusnya berada dalam keadaan terlalu selesa, sebaliknya harus menangani secara serius ancaman akidah yang datang dari segenap sudut.

“Kini pengaruh kelompok Syiah menyusup masuk secara terang-terangan ke dalam denyut nadi umat Islam di negara ini, selain ancaman pluralisme dan liberalisme.

“Ketiga-tiga ancaman ini mesti disekat daripada menyerap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam khususnya warga pendidikan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Khairil.

Pada majlis itu Khairil turut menyampaikan tiga anugerah Maal Hijrah peringkat Kementerian Pendidikan kepada tiga warga pendidik.

Anugerah Pengurusan Pendidikan diberikan kepada Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pelajaran Ne-geri (JPN) Selangor Shopuan Ahmad, anugerah kategori Guru diberikan kepada Penolong Pengarah SPI JPN Perak Taufik Suhaimi Ahmad dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti, Johor, Mohd Rifqi Myiddin dianugerahi kategori Penghargaan Khas.

Kesemua pemenang mendapat hadiah wang tunai RM5,000, plak dan sijil sumbangan Bank Rakyat. — Bernama

Advertisement