Anda di sini

64 kawasan ‘black spot’ diputihkan di bawah Program Bandar Selamat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 kawasan ‘black spot’ diputihkan sejak tahun lalu sehingga kini di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) NKRA Mengurangkan Jenayah bagi Program Bandar Selamat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata usaha ini bertujuan meningkatkan persepsi rasa selamat orang awam terhadap kawasan terbabit.

“Pada keseluruhannya, persepsi rasa selamat di kawasan ‘black spot’ yang telah diputihkan ini meningkat sebanyak 61 peratus berbanding 34 peratus sebelum program pemutihan dilaksanakan,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah).

Koh ingin tahu tentang tahap keberkesanan program Bandar Selamat setakat ini dan bilangan yang telah diwujudkan.

Halimah juga menjelaskan bahawa 44 lagi kawasan ‘black spot’ yang telah dikenal pasti akan diteruskan dengan program pemutihan pada tahun ini.

Menurut portal rasmi Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, black spot ialah kawasan yang menimbulkan perasaan tidak selamat dari segi jenayah, dan ia tidak semestinya mempunyai indeks jenayah yang tinggi.

Portal itu menyebut contoh kawasan black spot termasuk persekitaran yang kotor dan tidak terurus, bangunan kosong dan terbengkalai, sarang penagihan dadah dan kurangnya rondaan keselamatan.

Sementara itu, Halimah berkata dari tahun 2010 sehingga 2012, sebanyak 1,295 ‘hot spot’ (tempat berisiko mengundang jenayah) dalam 151 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia telah dilaksanakan dengan langkah Bandar Selamat untuk mencegah kejadian jenayah.

Katanya langkah itu termasuklah pemasangan dan penaiktarafan 18,102 lampu jalan, pemasangan 2,460 cermin keselamatan dan pembinaan 281 kilometer rel penghadang bagi mengasingkan pejalan kaki daripada laluan bermotor.

Selain itu tiga penggera keselamatan, 1,165 papan tanda keselamatan Polis Diraja Malaysia dan 31,813 unit tempat letak bermotor berkunci juga dipasang di kawasan ‘hotspot’ berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan Laporan Tahunan GTP 2012, indeks Jenayah Jalanan pada keseluruhannya dapat dikurangkan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010, 40 peratus pada tahun 2011 dan 41 peratus pada tahun 2012. — Bernama

 

Advertisement