Anda di sini

119 kertas siasatan seleweng minyak subsidi sejak Januari di Johor: Tee

Advertisement

JOHOR BAHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor telah membuka 119 kertas siasatan berhubung penyelewengan minyak bersubsidi di negeri ini, sejak Januari hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata tindakan itu adalah hasil ‘Ops Titik’ yang dilakukan terhadap pengusaha stesen minyak, pemborong dan bunkering minyak bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan bahan ber-kenaan di negeri ini.

“Kesemua 119 kertas siasatan yang dibuka itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4.05 juta,” kata beliau ketika menjawab soalan Mohd Ismail Roslan (BN-Semerah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, Nusajaya semalam.

Tee berkata PPDNKK Johor juga turut mengambil tindakan terhadap 305 kes kenaikan harga barang menerusi ‘Ops Harga’ yang dilakukan setiap hari, sejak Januari hingga kini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 165 kes adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala 140 kes lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Tee berkata kesemua kes berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan di 101,001 premis di seluruh negeri ini dengan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM47,096.30.

Terdapat 145 pegawai penguat kuasa ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di lapan cawangan PPDNKK di negeri ini manakala 121 orang pegawai pemantau harga secara kontrak sementara bagi membuat pemeriksaan harga di premis terpilih.

Beliau berkata premis berkenaan termasuk pasar malam, pasar raya besar, kedai runcit, pasar tani, kedai serbaneka 24 jam dan restoran dengan barangan yang dipantau melibatkan 446 item pada setiap bulan, 243 item pada setiap mingguan manakala 114 item pada setiap hari. — Bernama

Advertisement