Anda di sini

Madu asli segar dari ladang

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

LIHAT DEKAT: Penjaga lebah menunjukkan sarang mengandungi lebah madu dan ratu lebah.

 

MADU asli dan segar dari ladang ternakan lebah Summer Pasific Sdn Bhd di Samarakan, Tatau merupakan antara madu berkualiti tinggi yang pernah dihasilkan di negara ini.

Ia diperakui enam pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) semasa mengadakan lawatan ke ladang ternakan lebah itu baru-baru ini.

Muhamad Hanif Rawi yang mengetuai enam pelajar itu berkata, ia merupakan madu asli terbaik yang pernah dirasainya setakat ini.

“Bahkan ini merupakan pengalaman terbaik bagi kami kerana dapat melihat sendiri bagaimana madu diekstrak dan seterus diberi peluang untuk merasainya.

“Kami juga berbangga kerana diberi penghormatan dan layanan baik oleh syarikat ini (Summer Pasific) dan didedahkan dengan maklumat yang berguna mengenai industri ternakan lebah madu ini daripada pengurus ladang,” katanya semasa ditemui selepas lawatan itu.

MENGEKSTRAK MADU LEBAH

Menurutnya, industri ternakan lebah madu mempunyai masa depan yang cerah di negara ini dan usaha untuk memperkembang industri itu perlu digalakkan memandangkan negara ini mempunyai sumber semula jadi yang sesuai untuk aktiviti penternakan lebah.

“Kami diberitahu Bintulu merupakan pengeluar madu terbesar di negara ini dan mungkin yang terbaik di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, lawatan yang diadakan itu merupakan sebahagian projek pelajar tersebut berkaitan dengan integrasi lebah madu pertanian dengan pokok acacia mangium.

Lawatan turut disertai ahli teknologi makanan Summer Pasific Law Ei Hie dan Michael Chiong.

Menyambut ketibaan pelajar itu ialah pengurus ladang Yang Zhong Pei dan para pekerjanya.

MAKAN ROTI BERSAMA MADU SEGAR

Rombongan pelajar itu telah dibawa ke stesen pertama penyimpanan lebah dan sebelum itu telah diberikan taklimat ringkas Yang mengenai operasi ladang sebelum disusuli sesi soal jawab.

Yang berkata, cuaca yang baik merupakan masa yang sesuai untuk menuai madu dan keadaan itu menyebabkan lebah-lebah terbang di seluruh sarangnya.

Rombongan pelajar itu kemudiannya telah dibawa melawat ke stesen penyimpanan lebah kedua dan berpeluang melihat secara dekat ratu lebah di dalam sarang sekali gus melihat proses mengekstrak madu lantas menikmatinya.

Setiap pelajar sebelum meninggalkan stesen itu turut diberikan sebotol madu asli yang telah dituai awal.

Antara enam pelajar yang terlibat dalam lawatan itu ialah Syed Khairul Syahmi Syed Ahmad, Abdul Muhaimin Ahmad, Muhamad Amirul Hamzah M Umar, Muhamad Hafizzudin Abd Razip, Ahmad Shafiq Afandi Muhammad Shakib dan Mohd Nor Ammar Mohd Isa.

UNTUK ALBUM: Para pelajar merakamkan gambar kenangan bersama Yang dan isterinya (tengah) setelah selesai lawatan.

Advertisement