Anda di sini

Aksi ‘Raja Libas Borneo’ di Lawas tahun depan

Advertisement

TERIMA KASIH: Awangku Jinal (tiga kanan) menyampaikan cenderamata kepada Henry (empat kiri) disaksikan Semie (kiri) Abu Baharin (tiga kiri) di Lawas kelmarin.

LAWAS: Kejohanan Akhir Sepak Takraw Peringkat Zon Pemuda PBB Bukit Sari hujung minggu lalu mampu menghidupkan kembali sukan tersebut sebagai satu ‘fenomena’ selain mengembalikan kegemilangannya dalam melahirkan pemain-pemain berkaliber di wilayah utara negeri ini.

Exco Pemuda PBB Negeri yang juga pengerusi program, Abu Baharin Reduan berkata kejohanan itu landasan terbaik menyuburkan kembali sukan sepak takraw menjadi kegilaan golongan belia di setiap ceruk rantau suatu ketika dahulu.

Katanya, pada masa sama kejohanan ini juga mampu mengilap bakat-bakat pemain berkebolehan di wilayah utara Borneo untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita optimis dengan adanya kejohanan ini menjadi satu fenomena di setiap ceruk kampung di sini selain melahirkan pemain-pemain hebat dan mempunyai kemahiran tinggi,” katanya di sini kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ketua PBB Cawangan Bukit Sari merangkap penasihat kejohanan Kaunselor Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari Kaunselor Semie Nasip, Ketua Biro Sukan Pemuda PBB, Kaunselor Mohd Affendy Tahir dan barisan exco Pemuda PBB Bukit Sari.

Beliau berkata, kejohanan itu juga akan dijadikan acara tahunan bagi memartabatkan sukan itu di sini.

Katanya, ‘Raja Libas Borneo’ juga bakal diadakan tahun depan dalam usaha mengangkat sepak takraw ke peringkat lebih tinggi dan melaksanakannya dalam skala lebih besar.

Sementara itu, Awangku Jinal berkata sepak takraw akan dimartabatkan sebagai sukan tradisi yang popular di seluruh kampung di sini.

Katanya, dengan adanya Raja Libas Borneo nanti menarik lebih ramai peminat sukan itu daripada kepulauan Borneo dan Labuan untuk bersaing dan memburu gelaran.

“Pada masa ini, Lawas mampu dijadikan sebagai venue utama melahirkan pemain takraw negeri ini selain mengekalkan generasi muda meminati sukan sepak takraw,” ujarnya.

Pada kejohanan itu, pasukan Zon Pesaka 2 A muncul johan manakala naib johan dimenangi pasukan Jalan Punang B.

Selaku juara, pasukan itu membawa pulang Piala Pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, wang tunai RM800, piala dan piala iringan.

Sementara itu, Awang Shahmimi Awang Midun dari pasukan Zon Jalan Punang B muncul sebagai pemain (perejam) terbaik.

Advertisement