Anda di sini

23 kontraktor mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

Advertisement

DUNGUN: Sebanyak 23 kontraktor kelas F termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini kelmarin atas 44 tuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) kepada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen.

Bagaimanapun kesemua tertuduh yang berusia antara 26 hingga 68 tahun itu me-ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mereka dituduh melakukan perbuatan berkenaan terhadap kerja-kerja baik pulih rumah 44 nelayan di sekitar kawasan Parlimen Dungun dan Paka pada Nov 2011 hingga Jan 2013.

Mengikut fakta kes, mereka didakwa mengemukakan dokumen palsu berhubung kerja membekal bahan keperluan dan menjalankan kerja-kerja baik pulih rumah nelayan bernilai RM9,500 setiap satu unit dengan niat memperdayakan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Dungun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Daerah Dungun.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebanyak 12 tertuduh menghadapi satu pertuduhan iaitu Mohd Sari Ngah, 52, Yusof Omar, 39 Enche Baharuddin Enche Endut, 54, Z.Zamri Abdul Manaf, 48, Che Forzi Che Abd Aziz, 49, Mohammad Nizam Wahit, 44, Abd Rahim Awang, 53, Othman Omar, 50, dan Rahim Mohamad, 57, Razali Dollah, 44, Ramadhan Baharuddin, 29 dan Salim Berahim, 51.

Lima didakwa atas dua pertuduhhan iaitu Mohd Zaid Ahmad @ Mat, 50, Fakhrurrazi Nordin, 35, Norliati Ghani, 44, Mohamad Narawi Daud, 57 dan Shahriman Azam Safie, 37.

Bagi tiga pertuduhan ialah Amir Ismadi Md Ghani, 26, Shahairi Abd Wahab, 46 dan Abdullah, Embong, 68, manakala empat pertuduhan ialah Ahmad Atma Ali @ Yusof, 42, dan Zakaria Jusoh, 49 sementara Abdul Rashid Muda, 52, untuk lima pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala 22 tertuduh diwakili peguam Alias Abdullah manakala seorang lagi tertuduh diwakili oleh Ghazali Ismail.

Hakim membenarkan ke-semua tertuduh diikat jamin RM3,000 hingga RM5,000 dan menetapkan 15 dan 16 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai tuntutan palsu. — Bernama

Advertisement