Anda di sini

Sukaneka PKMK inisiatif rapatkan hubungan masyarakat

Advertisement

KUCHING: Pertubuhan Khidmat Masyarakat Kuching (PKMK) menggiatkan inisiatif untuk merapatkan hubungan masyarakat di sekitar Demak Laut setelah memulakan operasinya secara rasmi pada bulan lalu.

Bertempat di padang Kampung Senari di sini kelmarin, PKMK mengadakan acara sukaneka yang turut disertai pengerusi dan penaungnya, Azizah Ayoob dan Wan Kamal Tuanku Alwi Ibrahim.

Pelbagai acara termasuk sukan rakyat disediakan bagi penyeri aktiviti sehari itu.

Antaranya perlawanan bola sepak persahabatan veteran, bola sepak berkain pelikat, tarik tali, baling buah nyiur, muzikal chair, meniup belon, menganyam ketupat, dart dan pertandingan lelaki menyolek wanita.

Program bermula dengan perlawanan bola sepak antara PKMK dan warga Kampung Senari yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Suasana bertukar riuhrendah selepas Azizah sendiri turut serta dalam perlawanan bola sepak wanita menggunakan kain pelikat.

Dalam ucapannya, Azizah melahirkan rasa gembira dengan sambutan menggalakkan masyarakat setempat terhadap program berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata program itu merupakan kesinambungan kepada aktiviti kemasyarakatan PKMK untuk penduduk sekitar Demak Laut.

“PKMK akan terus komited menyediakan aktiviti seumpama masa akan datang sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan kejiranan selain mewujudkan kesedaran nilai-nilai murni kekeluargaan dan kemampanan rakyat,” katanya.

 

Advertisement