Anda di sini

KKLBW arah agensi di bawahnya bersiap sedia hadapi banjir

Advertisement

DUNGUN: Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) diarah bersiap sedia bagi menghadapi banjir di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar, kata ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Ibrahim Muhamad.

Beliau berkata kementerian telah menyediakan peruntukan bantuan makanan dan kelengkapan yang cukup untuk disalurkan segera kepada semua mangsa banjir.

“Semua telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bantuan makanan kepada mangsa banjir,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud dan Pengurus Besar KETENGAH, Wan Mat Amin Wan Daud.

Pada majlis itu Kampung Tok Dor Hulu Terengganu muncul juara Anugerah Desa Sejahtera dengan memenangi hadiah Projek Ekonomi sebanyak RM50,000 dan RM8,000 hadiah iringan.

Ibrahim berkata kementerian turut menyediakan peruntukan berhubung dengan kerosakan rumah dan barangan milik penduduk yang rosak akibat ditengelami air kelak.

“Kita menyediakan peruntukan sama ada untuk membaiki atau membina rumah baharu bergantung kerosakan yang berlaku.

“Selepas kita menerima laporan kerosakan, kita akan siasat perkara itu terlebih dahulu sebelum kita hulurkan peruntukan membaiki atau membaik pulih kerosakan terbabit,” kata Ibrahim.

Beliau berkata kementeriannya juga akan menyalurkan peruntukan bagi membaiki mana-mana jalan yang rosak akibat ditengelami banjir.

Katanya peruntukan telah ada dan kementerian akan membuat pemantauan terhadap jalan-jalan yang rosak akibat bencana alam itu dan akan membaikinya sebaik keadaan banjir pulih sepenuhnya. — Bernama

Advertisement