Anda di sini

Yang di-Pertuan Agong sempurna istiadat Pertukaran Panji RAMD

Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam berkenan menyempurnakan istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen Batalion Kesebelas dan Kelima Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sungai Besi, di sini.

Baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua RAMD turut bertitah meminta agar kedua-dua batalion mengotakan ikrar yang dilafazkan pada hari ini (semalam) agar negara tetap terpelihara daripada sebarang ancaman musuh.

“Beta juga amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua batalion dalam melaksanakan amanah yang diberi oleh rakyat jelata.

“Justeru, beta menaruh sepenuh kepercayaan bahawa kedua-dua batalion ini agar dapat terus mengekalkan keyakinan rakyat,” titah baginda selepas acara Perbarisan Mara Menghadap di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.

Baginda juga meminta seluruh anggota pasukan tentera itu menyanjung penghargaan dan keyakinan yang diberikan oleh rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara yang berdaulat.

Terdahulu, baginda berkenan memeriksa perbarisan kehormatan kedua-dua batalion yang keseluruhannya terdiri daripada 38 pegawai dan 608 anggota diketuai Pegawai Memerintah 11 RAMD, Lt Kol Mohd Kamil Abdul Latif dan Pegawai Memerintah 15 RAMD, Lt Kol Mat Noh Ngadiman.

Perbarisan kali ini merupakan pertukaran panji-panji rejimen kali kedua diadakan secara serentak selepas pertukaran panji-panji rejimen Batalion Pertama dan Batalion Kelapan pada tahun 2010.

Turut hadir Pengerusi RAMD Lt Jeneral Datuk Sri Zulkiple Kassim. — Bernama

Advertisement