Anda di sini

Sumber semula jadi dapat kurangkan pemanasan global, kata Mahdzir

Advertisement

BUTTERWORTH: Masyarakat perlu menggunakan sumber semula jadi khususnya yang boleh menghasilkan tenaga secara berhemah bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca atau rumah hijau yang menjadi penyumbang pemanasan global, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata berdasarkan satu laporan oleh panel antara kerajaan mengenai perubahan iklim di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu,  pelepasan gas rumah kaca telah mencapai paras membimbangkan.

“Keadaan ini memerlukan tindakan perubahan ke arah penggunaan tenaga rendah karbon dan tenaga boleh dibaharui (TBB) dengan segera, laporan yang sama juga mendapati kos penjanaan elektrik daripada sumber TBB khususnya tenaga fotovoltaik solar (PV) menurun.

“Dalam hal ini, kita perlu memanfaatkan sumber semulajadi memandangkan negara kita menerima cahaya matahari lebih banyak berbanding negara Eropah,” katanya kepada  pemberita selepas merasmikan hari terbuka Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di sini semalam.

Beliau berkata dalam laporan sama yang dikeluarkan pada 2 Nov lepas juga mendapati kesemua aktiviti pelepasan gas rumah kaca perlu dihentikan melalui pengurangan  secara berperingkat bagi mengelakkan kesan buruk perubahan ilkim.

“Saya juga berharap pertumbuhan penggunaan teknologi PV individu dapat terus berkembang di negara kita kerana dimaklumkan bahawa zon utara Semenanjung selain dari bahagian barat Sabah merupakan satu daripada kawasan yang mempunyai tahap radiasi solar yang tinggi,” katanya.

Mengenai hari terbuka SEDA, Mahdzir beliau berkata ia bertujuan memberi penerangan tentang peranan pihak berkuasa itu dalam menggalakkan orang ramai, pihak industri,  swasta dan badan bukan kerajaan menggunakan tenaga elektrik secara lestari.

Menerusi aktiviti seperti ini, katanya, pengunjung akan diberi pendedahan mengenai TBB melalui pemberian tarif galakan atau Feed-in-Tariff (FiT). — Bernama

Advertisement