Anda di sini

Program tingkat kesedaran bahaya denggi

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

BERJAYA: Tazudin (empat kiri) bersama para pelatih PPKP merakamkan kenangan selepas tamat program.

BAHAYA DENGGI: Poster bahaya denggi yang dipamerkan semasa program berlangsung.

PARA pelatih Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Pusat Latihan Amali (PLA) Sibu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu mengadakan Majlis Pelancaran Promosi Kesihatan Gerak Gempur Denggi dan Pelancaran COMBI pada 1 November lepas.

Program ini dijayakan oleh sembilan pelatih PPKP telah berlangsung di kawasan lapang berhampiran Pasar Sentral Sibu.

Sasaran utama program ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai bahaya demam denggi, sekali gus memberi kesedaran mengenai pentingnya pencegahan dan kawalan serta faktor-faktor penyebab berlakunya peningkatan kes penyakit demam denggi.

Program telah dirasmikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Sibu Abdul Malek Hashim. Hadir sama ialah Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu Chong Kuek Sen, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Majlis Perbandaran Sibu Ho Han Chung, Kaunselor Chieng Jin Ek serta yang lain.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini termasuk ceramah berkaitan demam denggi, majlis pelancaran program promosi, pameran berkenaan demam denggi dan promosi kesihatan di kalangan penjaja di Pasar Sentral Sibu.

Menurut Penyelaras PLA Sibu Tazudin Morni, sembilan pelatih terbabit telah memilih projek ‘Gerak Gempur Denggi dan Communication For Behavioural Impact (COMBI) 2014’ sebagai Projek Kesihatan berkenaan denggi bagi tahun 2014.

“Ini selaras dengan seruan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membendung gejala demam denggi di Malaysia yang kian meningkat khususnya di Sibu.

“Dengan adanya program sebegini, ianya sedikit sebanyak dapat menyedarkan masyarakat mengenai bahaya demam denggi dan langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilakukan oleh komuniti setempat demi menjaga kesihatan masing-masing,” ujarnya.

COMBI ialah singkatan bagi ‘Communication for Behavioural Impact’ atau ‘Komunikasi untuk Perubahan Tingkah laku’.

Tazudin memberitahu, program ini bertujuan untuk memperkasa peranan komuniti dalam mencegah dan mengawal kejadian penyakit berjangkit.

“Kebanyakan kejadian penyakit berjangkit mempunyai kaitan dengan tingkah laku manusia, termasuk penyakit demam denggi,” jelasnya.

BERI INFORMASI: Abdul Malek dan pelatih PPKP mengedarkan risalah mengenai bahaya denggi.

Advertisement