Anda di sini

Pertarungan sengit

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Peninju rebut kejuaraan Piala Pusingan Muaythai Bintulu

BINTULU: Pertarungan sengit ditampilkan oleh peninju-peninju dalam saingan Kejohanan Piala Pusingan Muaythai Bintulu Terbuka membabitkan beberapa kategori termasuk persembahan istimewa peninju Golden Elbow, Mohd Faizal Ramli di Gelanggang Muaythai Dataran Esplaned semalam.

Acara membabitkan ‘superfight’ dan pelbagai kategori berat termasuk pertarungan kategori profesional berat 57kg dalam acara pembuka gelanggang sebelah paginya.

Saingan dalam acara peninju amatur menyaksikan pertarungan untuk kategori berat 45-48kg, 51-54kg, 54-57kg, 60-63.5kg, 60-63kg, 60-69kg, 42-45kg, 48-51kg dan 67-71kg.

Para peninju perlu melalui pusingan perlawanan peringkat pertama sebelum melangkah ke peringkat seterusnya dan memasuki peringkat akhir hari ini.

Perlawanan itu turut menyaksikan kategori pilihan dan saingan peninju wanita amatur.

Peninju-peninju itu merupakan peninju mewakili kelab muaythai masing-masing terdiri Kelab PS Muaythai Sibiew, Kelab SS Fighter, Kelab Muaythai Polycarp, Kelab Muaythai Jepak, Kelab Muaythai Kenyalang (MTK), Kelab Muaythai Lundu dan Kelab Muaythai Warrior Miri.

Mereka bakal merebut Piala Pusingan Kejohanan Muaythai Bintulu Terbuka tahun ini anjuran Persatuan Muaythai Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta beberapa agensi lain di sini.

Kejohanan itu juga khusus disertai oleh peninju- peninju dari kelab gabungan ahli-ahli gabungan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak.

Keputusan penuh pertarungan akan diketahui dalam pertarungan peringkat akhir hari ini sekali gus akan menentukan kejuaraan Piala Pusingan Muaythai Bintulu.

Pertarungan amatur kategori 45-48kg menyaksikan Aidil Hakimi Dahlan (Kelab Muaythai Jepak) menewaskan Elvin Ding Wan (Polycarp), Awangku Abd Rahman (PS Muaythai Sebiew) menewaskan Nor Akmal Syafiq Abdullah (Kelab Muaythai Jepak), Muhd Hamka Abu Kassim (MTK) menundukkan Majidi Razak (Muaythai Jepak) diikuti Ahmad Shazwan (PS Muaythai Sebiew) menewaskan Muhd Azmat Johari (Muaythai Jepak).

Pertarungan kategori ‘superfight’ berat 45-48kg menyaksikan peninju wanita, Nurzafarisha Jafari (MTK) menewaskan Ranti Nisa Jina (Kelab Muaythai Lundu).

Pertarungan jemputan antarabangsa melibatkan perlawanan peninju Thailand di samping perlawanan jemputan kanak-kanak antara dua atlet kanak-kanak yang pernah mewakili Malaysia pada Kejohanan Muaythai Dunia IFMA di Langkawi pada Mei lalu.

Penampilan khas Mohd Faizal Ramli lebih dikenali ‘The Golden Elbow’ (peserta The Challenger Muaythai) semalam turut memukau hadirin.

Advertisement