LENGGONG: Pengurangan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak lima peratus dan 15 peratus hanya melibatkan kira-kira 200,000 penuntut yang menerima kemudahan itu pada 1 Nov lepas.
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah pengurangan itu tidak melibatkan kira-kira 400,000 penuntut sedia ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang telah menerima pembiayaan itu sebelum 1 Nov 2014.
“Ibu bapa dan penuntut jangan bimbang. PTPTN tetap berpegang kepada komitmen kita, tiada langkah pengurangan terhadap pembiayaan yang telah diberi kepada yang menerima kemudahan itu sebelum 1 Nov,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN kepada 77 penuntut politeknik di Dewan Merdeka di sini semalam.
Baru-baru ini PTPTN mengumumkan langkah pengurangan jumlah pembiayaan itu terpaksa diambil berikutan kekurangan dana ekoran ramai peminjam gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual.
Beliau berkata PTPTN juga menggunakan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai kaedah tapisan bagi menentukan kelayakan jumlah pembiayaan bagi semua peminjam baharu.
Katanya peminjam atau ibu bapanya yang disenaraikan sebagai penerima BR1M layak mendapat pembiayaan penuh manakala pembiayaan sebanyak 75 peratus diberi kepada yang berpendapatan tidak lebih RM8,000 dan 50 peratus untuk pendapatan bulanan keluarga pelajar melebihi RM8,001.
Selain itu, Shamsul Anuar yang juga ahli Parlimen Lenggong, berkata langkah menyenaraikan 173,985 peminjam tegar bagi peringkat awal yang tidak pernah membuat bayaran balik dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara mulai 1 Jan tahun depan, bukan satu tindakan luar biasa.
“Kita tetap dengan keputusan selepas mengambil kira banyak aspek. Kita sudah buat tindakan saman dan sekatan ke luar negara sebelum ini namun tidak berkesan.
Langkah CCRIS adalah amalan biasa terutama bagi institusi kewangan,” katanya.
Beliau berkata penyenaraian dalam CCRIS bukan bermakna disenarai hitam, sebaliknya ia hanya pangkalan data bank pusat yang merekodkan maklumat kredit pelanggan terutama dari institusi kewangan dan bank.
“Jika peminjam PTPTN mahu membuat pinjaman di mana-mana institusi bank untuk mendapat pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya, maklumat mengenai peminjam akan dirujuk terlebih dahulu kepada CCRIS, jika dia ada pinjam PTPTN maka dia perlu jelaskan bayaran semula terlebih dahulu kepada PTPTN,” katanya.
Pada 5 Nov lepas, PTPTN mengumumkan sebanyak 558,475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman akan disenaraikan dalam CCRIS mulai 1 Jan 2015 selepas beberapa tindakan termasuk sekatan ke luar negara tidak berhasil.
Langkah itu terpaksa diambil ekoran perbadanan itu berdepan masalah kekurangan dana untuk pemberian pembiayaan terutama kepada penuntut baharu yang semakin bertambah serta bayaran balik kepada institusi kewangan.
Sehubungan itu, Shamsul Anuar menyeru kepada peminjam berkenaan supaya hadir ke kaunter PTPTN di seluruh negara untuk berunding sebelum 31 Dis ini.
“Datang dan berbincang dengan kita. Kalau bayar sekali gus ada potongan sebanyak 20 peratus. Selain itu ada dua pilihan lain,” katanya.
Peminjam boleh memohon penjadualan semula bayaran balik iaitu menyelesaikan secara ansuran dalam tempoh 12 bulan berakhir 31 Dis 2015 dan diberi rebat 10 peratus atau penstrukturan semula yang mana peminjam boleh membayar balik secara ansuran mengikut kemampuan kewangan bagi tempoh umur tidak lebih 60 tahun. — Bernama