Anda di sini

Malaysia bertuah dapat menjalinkan kerjasama dengan China: Raja Muda Perlis

Advertisement

BEIJING: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Malaysia perlu bekerjasama dengan China dalam bidang pertahanan selepas begitu bertuah dapat menjalin hubungan dan kerjasama dua hala selama 40 tahun dengan negara itu.

Titah baginda kerjasama pertahanan antara kedua buah negara tidak dapat dielakkan berikutan kemajuan ekonomi, teknologi dan ketenteraan negara ‘Tembok Besar’ itu semakin memberangsangkan.

“Sempena sambutan diplomatik 40 tahun Malaysia-China tahun ini, beta harap perhubungan rakyat dengan rakyat juga sama ada peringkat tertinggi, pertengahan atau rendah diperbaiki dan dipertingkatkan.

“Adalah penting untuk kita merapatkan jurang antara Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China,” titah baginda selepas mendengar taklimat di Universiti Pertahanan Kebangsaan China (NDU) di sini, petang kelmarin.

Taklimat yang banyak menyentuh peranan NDU dan polisi ketenteraan China lebih sejam itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan Maxism NDU, Mejar Jen Hung Shu Jin serta Kolonel Kanan Hou Xiohe, iaitu Profesor di Jabatan Penyelidikan Strategik NDU.

Syed Faizuddin selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis mengetuai delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia dalam program lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula kelmarin hingga 17 Nov ini. — Bernama

Advertisement