Anda di sini

Program Bina Juara Betong suntik kecemerlangan SPM

Advertisement

Oleh Saleman Senin

 

PENGHARGAAN: Sapawi(tengah) menyampaikan cenderamata kepada penceramah pada program Bina Juara Daerah Betong, Suntikan Cemerlang SPM 2014.

DALAM usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong untuk melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sekolah-sekolah menengah daerah tersebut, program Bina Juara Daerah Betong, Suntikan Cemerlang SPM 2014 telah diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong baru-baru ini.

Program tersebut melibatkan seramai 160 calon SPM dari tujuh buah sekolah menengah di Betong iaitu SMK Saint Augustine, SMK Ulu Layar, SMK Spaoh, SMK Saribas, SMK Pusa, SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK Beladin.

“Usaha kita adalah untuk memperkasakan pendidikan di daerah Betong agar mampu mencapai keputusan yang cemerlang di samping merealisasi harapan PPD Betong khasnya dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak amnya,” kata Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Sapawi Mahadi.

“Program ini adalah inisiatif PPD Betong untuk membantu usaha pihak sekolah-sekolah menengah daerah Betong meningkatkan kuantiti dan kualiti keputusan SPM 2014.

“Ia juga merupakan aktiviti keilmuan berkonsepkan motivasi dan tip-tip dalam menjawab soalan-soalan khasnya untuk mata pelajaran yang sukar dan memberi keputusan yang kurang memberangsangkan bagi daerah kita dalam ujian-ujian yang dijalankan menjelang peperiksaan SPM sebenar.

“Ini adalah peluang untuk pelajar-pelajar kita mendapatkan teknik menjawab soalan yang tepat dan berguna untuk dijadikan bekalan bagi menjawab soalan.

“Tumpuan penuh dalam setiap slot ceramah dan bengkel menjawab soalan berkesan yang diberikan oleh penceramah dijemput khas sebagai perkongsian ilmu adalah amat penting untuk calon-calon kita menambah pengetahuan mereka.

“Suntikan saat akhir ini juga diharap dapat memberi percambahan ilmu untuk panduan calon-calon kita menjawab soalan-soalan SPM,” ujarnya.

Beliau berharap agar aktiviti berkenaan akan diperkembangkan pada tahun-tahun akan datang serta diperluaskan kepada pelajar-pelajar dengan mata pelajaran yang mendapat keputusan kurang memuaskan.

Program tersebut juga diharap dapat merealisasikan anjakan keenam yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) yang berusaha Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.

Program yang dikendalikan oleh Unit Akademik, PPD Betong itu telah menjemput Guru Cemerlang Matematik Marziato Sulaiman dari Kolej Vokasional, Kuching untuk memberi ceramah tentang teknik menjawab soalan.

Soalan Bahasa Inggeris pula dikendalikan oleh Catharina Stephen, SISC+ Bahasa Inggeris dari PPD Betong, manakala motivator mata pelajaran Sejarah, Yasmin Hashim @ Yasin dari SMK Semerah Padi, Kuching menyampaikan ceramah berkenaan teknik menjawab soalan dengan berkesan.

Pada tahun 2014, seramai 948 calon SPM didaftarkan bagi sekolah menengah di bawah urusan PPD Betong.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan PPD Betong Aleksey Aman, Pengetua SMK Spaoh Anis Madeli, Ketua Unit Pengurusan Perkhidmatan Perjawatan Nasir Len dan Ketua Unit Akademik Dayang Normala Abang Dalhan.

Advertisement