Anda di sini

Perak ‘timba idea’ daripada Sarawak

Advertisement

Oleh Harry Ilias

TINJAU: Abdul Puhat (tiga kanan), Musa (kiri) dan Abang Zainudin (dua kiri) bersama jawatankuasa kerja Perbadanan Stadium Negeri Perak dan pegawai MSNS melawat Stadium Sarawak semalam.

Berhubung cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Stadium Negeri Perak dilaksana tidak lama lagi

KUCHING: Perbadanan Stadium Negeri Sarawak (PSNS) menerima kunjungan seramai 13 orang ahli jawatankuasa kerja Perbadanan Stadium Negeri Perak (PSNP) selama tiga hari bermula semalam.

Lawatan rasmi itu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan bersama pegawai dari beberapa agensi kerajaan Negeri Perak antaranya Pejabat Kewangan Negeri, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri, Majlis Bandaraya dan Pejabat Undang-Undang Negeri.

Menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Musa Dun tujuan lawatan tersebut adalah untuk berkongsi idea dengan kerajaan Negeri Sarawak berhubung cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Stadium Negeri Perak.

“Kita mahu belajar dan berkongsi pandangan dengan kerajaan Negeri Sarawak langkah-langkah untuk menubuhkan perbadanan stadium yang akan kita laksanakan tidak lama lagi.

“Justeru itu, kita membawa pegawai dari beberapa agensi untuk meninjau pelbagai perkara yang boleh dipelajari dan diguna pakai dari sini untuk menubuhkan perbadanan stadium kita nanti,” katanya di sini semalam.

Menurut Musa, hasrat Perak untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 turut mendorong kepada penubuhan perbadanan stadium negeri itu.

“Kita telah menghantar permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi penganjur SUKMA 2018 dan ketika ini hanya menunggu keputusan daripada pihak atasan.

“Jika Perak terpilih sebagai menjadi tuan rumah, kita mahu memastikan venue SUKMA 2018 diadakan di seluruh negeri dan tidak hanya tertumpu di pusat bandar.

“Justeru, kita mahu memastikan perbadanan stadium kita dapat beroperasi dengan baik,” ujar beliau.

Musa menambah, pihaknya bercadang untuk datang lagi bagi meninjau persiapan fasa kedua kerajaan Negeri Sarawak untuk menghadapi SUKMA 2016.

“Setelah melihat sendiri persiapan kerajaan Negeri Sarawak, kita benar-benar yakin mereka mahu memastikan penganjuran SUKMA 2016 berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya.

Sepanjang sesi lawatan itu, rombongan dibawa melawat fasiliti sukan negeri seperti Stadium Negeri, Stadium Sarawak, Stadium Perpaduan Negeri dan padang bola sepak tiruan.

Mereka akan bergerak ke Sabah selepas ini bagi meninjau fasiliti di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Hadir sama Pengurus Besar PSNS, Abang Zainudin Abang Abdul Rahman dan beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Advertisement