Anda di sini

Badminton: Beregu campuran negara layak ke separuh akhir

Advertisement

KUCHING: Beregu campuran negara, Tan Chun Seang-Shevon Jemie Lai dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Kuching Malaysia Maybank 2014 di Stadium Perpaduan Negeri, di sini semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu menundukkan pasangan Indonesia, Rian Swastedian-Nisak Puji Lestari dengan 21-14, 15-21 dan 21-19.

Peluang Indonesia ke final acara itu masih terbuka setelah Hafiz Faisal-Shella Devi Aulia turut mara ke separuh akhir dengan mengejutkan pilihan kelima yang juga rakan sepasukan, Hardianto Hardianto-Maretha Dea Giovani dengan 21-16, 21-18.

Wakil Singapura, Yong Kai Terry Hee-Wei Han Tan turut mara dengan menewaskan pasangan Chinese Taipei, Hung Ying Yuan-Yang Ching Tun 21-11, 21-18.

Sementara itu, pilihan ketiga perseorangan wanita Li Lian Yang menempah slot ke separuh akhir setelah mengejutkan rakan sepasukan yang juga bekas pemenang pingat Sukan Komenwel, Lydia Li Ya Cheah 21-14, 18-21, 21-15.

Mengiringi Yang, pilihan keempat Sannatasah Saniru selepas wakil negara itu menjinakkan pilihan keenam dari Indonesia, Hana Ramadhini dengan 23-25, 21-16, 21-16.

Turut mara Jiayuan Chen dari Singapura yang menundukkan Ruselli Hartawan dari Indonesia dengan 21-14, 21-16.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki menyaksikan wakil negara, Nur Mohd Azriyn Ayub tersingkir selepas ditundukkan Ronald Susilo dari Indonesia dengan 12-21, 21-8, 21-18.

Harapan negara dalam acara tersebut, Tan Chun Seang dan Zulfadli Zulkiffli akan ditentukan sebaik kedua pemain itu turun pada sebelah malam.

Advertisement